KEGAGALAN DEMI KEGAGALAN...KERAJAAN TEBUK ATTAP TIDAK BERDAYA

 

Menteri Pengangkutan ‘gagal’ lagi…




Saya amat mengalu-ngalukan pembukaan sempadan di antara dua negara jiran yang amat rapat, Singapura dan Malaysia, pada 1 April lalu.

Saya juga mengikuti perkembangan terkini sewaktu sempadan dibuka pada jam 12.01 tengah malam itu melalui pelbagai jenis media sosial yang dikongsi oleh pihak yang terlibat dalam perjalanan mereka.

Amatlah menghairankan dengan jumlah yang begitu ramai. Apakah mereka semua itu terkandas di Singapura selama ini?

Kenapa dan mengapa jumlah pejalan kaki yang merentasi tambak Johor menghala ke Malaysia itu begitu ramai?

Apakah benar tiada rakyat Singapura yang terkandas di Malaysia.

Namun, persoalan lebih penting ialah apakah pihak berkuasa tidak mempunyai data dan maklumat tentang begitu ramai warga Malaysia bersiap sedia memasuki negara pada 1 April?

Tentunya aplikasi MySejahtera yang diguna pakai sekarang dapat mengesan posisi mereka di negara jiran itu?

Serta juga jadual perjalanan yang diisi sebelum mereka bertolak, itu diperlukan dalam aplikasi tersebut.

Pihak berkuasa kita banyak bercakap tentang pentingnya aplikasi tersebut dan perlunya persediaan yang menggunakan teknologi terkini, tetapi hasilnya seperti yang terlihat di tambak Johor pada malam 1 April itu, amat memalukan negara.

Tiada perkhidmatan bas

Sekiranya mereka tahu begitu ramai rakyat yang akan pulang, kenapa persediaan yang lebih teratur tidak disediakan dan tidak diadakan?

Kenapa Menteri Pengangkutan cuma memberi kebenaran kepada pengusaha bas Johor-Singapura untuk memulakan operasi mereka pada 1 Mei dan tidak pada 1 April?

Di mana kecekapan kementerian? Apakah mereka faham apa itu konsep persediaan?

Kenapa mereka mendakwa diri dalam keadaan bersiap sedia untuk membuka sempadan tetapi pada sebenarnya tidak?

Bas pun tidak disediakan. Apa lagi khidmat kereta api antara Woodlands dan JB yang wujud, tetapi tidak dioperasikan. Jadi warga Malaysia semuanya terpaksa berjalan kaki.

Kementerian Pengangkutan nampaknya sanggup membiarkan rakyat yang telah lama terkandas, terpisah daripada keluarga dan mungkin juga tersempit dari segi kewangan, untuk pulang semula ke tanah air dari Singapura, ikut ‘pandai’ mereka.

“Persediaan” yang dilaungkan oleh Menteri Pengangkutan hanya indah khabar dari rupa.

Apakah maruah rakyat yang bekerja di Singapura begitu murah sehingga boleh terbiar begitu rupa.

Tidak dapat dinafikan bahawa Kementerian Pengangkutan bertanggungjawab menyediakan khidmat pengangkutan untuk mereka.

Sebaliknya kementerian gagal dalam mengadakan persediaan dan berurusan dengan negara jiran, yang ternyata lebih maju, lebih bersedia dan tentu sekali tidak akan membiarkan rakyat mereka terkandas di Malaysia.

Apa lagi untuk membiarkan rakyat mereka berjalan kaki untuk pulang ke Singapura.

Nyata mereka mempunyai taraf penyeliaan dan nilai maruah yang lebih tinggi.

Pihak Singapura ternyata lebih cekap, lebih berperi kemanusiaan, dan lebih bersedia untuk menangani masalah pengangkutan di sempadan.

Sebaliknya, kita berada di tahap yang jelas memerlukan pembaikan.

Pedih untuk dengar, tapi ini hakikatnya.

Menteri Pengangkutan tidak harus lari daripada mengambil tanggungjawab atas kegagalan ini.

Kegagalan Kementerian Pengangkutan menguruskan keperluan pengangkutan warga Malaysia yang melimpah masuk dari Singapura lalu tidak boleh ‘ditutup’ begitu sahaja kerana ia jelas mencalar imej kerajaan.

Jika Putrajaya bersikap berpeluk tubuh, maka kerajaan Johor sendiri wajar menuntut penjelasan telus daripada Menteri Pengangkutan atas keadaan memilukan warga Malaysia di sempadan Johor-Singapura tempoh hari.

Bukan sahaja menuntut penjelasan, tetapi juga menuntut tindakan ke atas mereka yang cakap tidak serupa bikin, lebih cenderung menabur janji politik yang kosong semata-mata.