Pemilihan PKR: bertanding atau tidak, Amiruddin umum hari ini.
PUCHONG: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari akan membuat pengumuman sama ada akan bertanding atau tidak pada pemilihan PKR Mei ini, hari ini.
Menurut Amirudin, keputusan yang bakal dibuat itu juga bagi memastikan Selangor terus kekal berada dibawah kepimpinan Pakatan Harapan (PH).
“Keutamaan saya memastikan Selangor kekal di bawah pentadbiran PH dan itu fokus yang jadi keutamaan.
“Jadi apa pun keputusan, bertanding apa jawatan tak boleh ganggu fokus saya pastikan Selangor kekal di bawah PH yang diketuai PKR,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Platform Selangor 3.0 di Bazar Ramadhan Bandar Kinrara, di sini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya keputusannya untuk bertanding dalam pemilihan PKR, pada Mei.
Amiruddin turut berseloroh, keputusan itu mungkin dibuat esok “kalau bangun tidur”.
“Saya sedang berunding, prosesnya, saya limitkan (hadkan) sehingga tengah malam ini, jadi esok pagi saya akan buat pengumuman,” katanya.
Pada Februari lalu, FMT melaporkan bekas pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengesahkan bahawa dirinya akan bertanding di bahagian Gombak, menentang Amirudin.
Bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim itu, berkata keputusannya mencabar Amirudin bukan bertujuan melenyapkan sebarang “kartel Azmin” atau mencerminkan prasangka terhadap Amirudin.
Untuk rekod, Amurudin sebelum ini dilihat sebagai seorang daripada penyokong tegar bekas timbalan presiden Azmin Ali – antara individu yang menyebabkan kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan melalui Langkah Sheraton pada hujung Februari 2020.