Kepimpinan Wanita KEADILAN telah berada di level yang setanding
dengan mana mana parti politik utama di Malaysia.
Cuma wawasan masa hadapan, Wanita KEADILAN perlu tumpukan untuk menarik lebih banyak minat kaum Hawa di negara ini bagi mengundi parti reformasi itu dalam pilihan raya umum akan datang.
Sehubungan itu bagi meningkatkan imej wanita, Ketua Wanita KEADILAN Selangor, Rodziah Ismail menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Wanita KEADILAN Malaysia dalam Pemilihan KEADILAN 2022.
"Karisma seorang perencana, pengurus dan penyelesai masalah diperlukan oleh Wanita KEADILAN bagi melayari bahtera organisasi di lautan penuh gelora.
"Selaku perencana kepada projek-projek regenerasi dan pemberdayaan wanita KEADILAN, pemimpin perlu cemerlang menggembeleng keupayaan anggota di setiap lapisan bagi mencetuskan anjakan parti setakah ke hadapan.
"Wanita sudah sememangnya sedia beraksi hebat. Namun, momentum ini hanya akan kekal apabila dibentuk dengan orientasi yang betul dan elemen kepimpinan yang cukup.
"Lalu, apa yang wanita perlu lagi? Wanita perlukan seorang perencana, pemimpin dan watak utama yang ternyata berkhidmat menjayakan projek regenerasi dan pemberdayaan wanita. Dengan itu, berbekalkan pengalaman dan konsistensi, saya bersedia berdiri di hadapan para anggota bagi memikul amanah selaku Ketua Wanita KEADILAN bagi sesi 2022," kata Rodziah dalam kenyataannya, pagi ini.
Menurut Exco Selangor itu lagi, anggota parti boleh membandingan rekod beliau di Selangor yang semua hasil kerja pasukan pimpinan beliau boleh dipertanggungjawabkan bagi menjadi bukti amanah dan kejayaan memimpin Wanita KEADILAN.
Bahkan, katanya, jika dilihat sentuhan di peringkat nasional jejak khidmat tersebut telah membumi sehingga telah pun dinikmati seluruh warga suri melangkau kelompok parti.
"Kita semua harus berbangga dengan pencapaian yang amat mematangkan ini. Wanita KEADILAN tidak lagi bergantung harap kepada token belas kasihan.
"Ternyata, wanita diiktiraf layak kerana tegapnya kudrat, sekaligus, menyedarkan semua pihak bahawa wanita itu kekal handal dek jiwa yang cekal.
"Di samping itu, sepanjang garis masa perjalanan gerak kerja Wanita KEADILAN, pelbagai masalah telah datang menghadang. Sekalipun dielak, ia tetap menduga kebersamaan kita. Namun begitu, ia boleh diurus sebaiknya secara cekap dan konsisten oleh orang yang dipercayai.
"Saya yakin Wanita KEADILAN tidak akan merisikokan perjuangan ini dengan tindakan melulu dalam memilih kepimpinan yang diharap-harapkan," katanya lagi.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga itu juga berharap persaingan jawatan dalam pemilihan kali ini diasaskan kepada prinsip kebertanggungjawaban, amanah dan konsistensi yang akan memperkukuh parti dan menjunjung aspirasi rakyat.
Katanya, jika roh itu hilang maka seluruh tubuh organisasi akan pincang, rentan dan ketidaktahuan punca.