Ada cubaan lindungi Najib di rujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen?

 

Sesi Parlimen pertama tahun 2022 yang berakhir Khamis lalu menimbulkan ketidakpuasan hati blok pembangkang apabila usul untuk merujuk Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mengelirukan dewan setelah mendakwa hutang 1MDB tidak dibayar menggunakan wang kerajaan, tidak berjaya dilakukan.

Merujuk dokumen Perintah Kertas untuk 24 Mac 2022 yang dimuat naik pada petang 23 Mac 2022, usul ke atas Najib diletakkan sebagai yang terakhir daripada 19 item dalam Perintah Harian dan Usul Dewan Rakyat yang mengakibatkan usul tersebut terpendam begitu sahaja.

Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, meletakkan usul tersebut pada kedudukan terbawah seolah olah tidak mahu ia dibahaskan dan diundi oleh anggota dewan.

"Usul merujuk YB Pekan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen adalah penting. Tidak patut diletak paling bawah dalam senarai urusan Parlimen. Selepas urusan Pertanyaan Lisan boleh diuntukkan masa untuk bahaskan Usul tersebut.

"Usul dari YB Damansara tersebut yang disokong blok Pembangkang merupakan satu instrumen semak dan imbang supaya tiada siapa boleh berbohong di Parlimen, seperti tiada siapa dibenarkan berbohong di mahkamah.

"Hukuman penjara boleh dikenakan ke atas saksi yang berbohong di mahkamah maka Ahli Parlimen yang berbohong di Parlimen mesti dihukum gantung dari hadir di Parlimen," katanya.

Menurut Hassan lagi, aturan mesyuarat tidak boleh digunakan sewenang wenangnya mendahulukan urusan kerajaan sedangkan terdapat urusan lain yang lebih utama bagi menjaga kesucian dewan.

Katanya, tindakan tidak berusaha untuk mengambil tindakan terhadap Usul ke atas Najib itu seolah olah cuba melindungi bekas Perdana Menteri berkenaan.

"Tidak boleh dibenarkan sewenang-wenang aturan mesyuarat Dewan Rakyat yang menyatakan urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada yang lain-lain.

"Saya melihat dengan meletakkan Usul sepenting ini di senarai terakhir urusan Parlimen pada khamis 24 Mac, memberi persepsi bahawa ada usaha untuk melindungi bekas PM YB Pekan dalam isu 1MDB," katanya lagi.

Pada 3 Mac lalu, Ahli Parlimen Tony Pua (PH - Damansara) telah menghantar surat kepada Speaker mahu Najib Razak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengelirukan Dewan Rakyat semasa membahaskan titah diraja

Katanya, Najib melakukan kesalahan fakta dalam beberapa isu yang dibangkitkannya khususnya mengenai 1MDB, pengambilalihan loji pengeluar tenaga bebas (IPP) dan nilai aset Bandar Malaysia.