Terdapat arus momentum kebangkitan rakyat di tengah tengah
kesukaran hidup dan BN memaksa mereka memilih kerajaan baharu.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed
Ibrahim Syed Noh, daripada maklum balas rakyat, KEADILAN Johor mendapati
situasi kali ini berbeza dengan pola pengundian di Melaka.
Apatah lagi, katanya, KEADILAN Johor belajar daripada kelemahan di
Melaka dan telah membuat persiapan awal.
"Kita di Johor, kita dapat pengalaman (dari Pilihan Raya
Negeri (PRN) Melaka), kita buat strategi awal macam mana nak pastikan anggota
kita boleh keluarkan 100%, pengundi atas pagar keluar 100%. Ini pengajaran
besar. Saya syukur kita buat persiapan awal.
"Kita buat kerja, kita mesti usahakan untuk bertemu pengundi
kita sebelum penamaan calon. Kita mesti manfaatkan teknologi maklumat yang ada,
gunakan sosial media, buat forum dan sebagainya supaya rakyat dapat lihat dan
dengar sendiri hujah yang dibawa oleh pimpinan kita.
"Di Johor kita ada momentum yang baik sekarang. Ini adalah
kebangkitan momentum suara rakyat. KEADILAN telah buktikan dengan perkataan dan
perbuatan bahawa kita boleh mentadbir dan boleh memenangi kerusi yang
ditandingi," katanya dalam majlis pelancaran jentera KEADILAN Johor, malam
tadi.
Ahli Parlimen Ledang itu menekankan agar jentera kempen
menggunakan sepenuhnya isu harga barang untuk membangkitkan semangat rakyat
menolak BN dan PN dalam PRN.
Jelasnya, rakyat Johor rata rata tidak berpuas hati dengan
kegagalan kerajaan pusat dan negeri hal mengawal harga barang sehingga rakyat
kesempitan.
"Saya jumpa macik di warung. Pergi sarapan diwarungnya, saya
tanya macam mana berniaga? Dia kata, dulu modal sehari RM100 sekarnag modal
RM300. Jadi saya tanya, kalau macam tu makcik naik harga?
"Jawabnya, saya tak sampai hati naik harga, saya bimbang
orang tak datang kedai dan bimbang orang tak mampu beli makanan. Ini realiti
berlaku, ini bukan dongeng.
"Kita jumpa ibu tunggal dalam program Back To School, tanya
mereka suasana peniddikan. Pendidikan tidak tidak menentu sekejap ke sekolah
sekejap on line. Mereka tak pasti masa depan pendidikan anak anak. Ini perkara
asas masyarakat.
"Harga telur pula, dulu sepapan RM8 sekarang RM10 - 12.
Minyak masak mahal, bawang mahal. Kalau tanya peniaga murtabak, mereka guna
telur, minyak masak, mereka kata tak sampai hati naik harga jualan. Katanya,
saya kurangkan untung. Masih ada untung. Esok lusa kalau naik lagi, peniaga pun
mungkin tak ada untung langsung," ujar Syed Ibrahim sinis.
Dalam ucapan itu juga, beliau tidak lupa mengucapkan penghargaan
kepada pimpinan KEADILAN yang telah turun lebih awal bertemu rakyat.
Misalnya Ketua Penerangan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin
yang telah pun bergerak ke 10 DUN, Pengerusi Penasihat KEADILAN Datuk Seri Dr
Wan Azizah juga telah turun ke DUN. Begitu juga Presiden KEADILAN.
Dari maklum balas rakyat, katanya, mereka tidak segan silu
memberitahu pemimpin KEADILAN mengenai kekecewaan terhadap situasi ekonomi
semasa.