Menurut Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, parti politik tidak seharusnya ditaja seperti itu yang akan menyukarkan usaha menghapuskan rasuah dan penyelewengan sekiranya sesebuah parti dipilih menjadi kerajaan.
Katanya, dalam kes beliau, keengganan berkompromi dengan konglomerat seperti itulah menyebabkan beliau tidak menjadi Perdana Menteri sehingga ke hari ini.
"Jadi jangan meremehkan kemungkinan dalam politik, dalam pilihan raya ada yang ditaja hanya untuk melemahkan agenda reformis.
"Saya akui tidak mudah. Ya, saya belum berhasil penuh. Tapi kalau saya kompromi, saya sudah berhasil. Jangan lupa, kalau saya kompromi, saya sudah jadi Perdana Menteri," katanya dipetik Wawancara Eksklusif bersama Sinar Harian.
Tambah Presiden KEADILAN itu, pendirian menentang rasuah sehingga ke akar umbi menyebabkan beliau dan partinya tidak popular di kalangan oligarki dan tidak banyak pihak yang sanggup membantu perjuangan KEADILAN.
"Saya tentu tidak popular, jadi tokoh-tokoh yang besar susah nak bantu PKR selagi Anwar jadi ketua.
"Terus terang saya boleh berkawan dengan semua, tetapi untuk kompromi soal ini (rasuah), akan menjahanamkan negara kita," ujarnya.
Anwar membawa contoh perbahasan beliau di Parlimen berkenaan isu Pandora Paper yang amat tidak disenangi pemimpin kerajaan dan tokoh tokoh perniagaan, kerana mendedahkan nama nama yang membawa keluar wang dan disimpan di tempat selamat serta boleh mengelak cukai.
"Saya masih ingat di Parlimen tatkala berucap tentang Pandora Paper yang melibatkan mantan Perdana Menteri, mantan Menteri Kewangan dan semua nama-nama besar dari pelbagai parti.
"Speaker larang saya bicara tetapi saya nak bicara sebab ini menyentuh kepentingan negara.
"Berbilion ringgit dibawa keluar dan orang-orang ini sekarang mahu jadi jaguh. Yang hendak menyelamatkan orang-orang Melayu itulah juga yang bawa ratusan juta keluar negara.
"Dia ada penyokong sebab dia ada wang. Sebab dia ada golongan korporat yang akan membantu," katanya lagi.
Konglomerat membantu parti politik pertama kali ditimbulkan Anwar dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak. Beliau mengingatkan agar pengundi tidak memberi sokongan kepada parti parti yang ditaja tauke balak yang akan menggonggolkan lebih banyak hutan sekiranya parti berkenaan dipilih menjadi kerajaan sedangkan rakyat tidak mendapat apa apa manfaat.