Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin berkata, beliau sudah pun melupakan keinginan untuk menyertai Muafakat Nasional atau MN yang diasaskan penubuhannya oleh UMNO dan Pas.
Dengan itu, katanya, perkara itu tidak perlu diungkit-ungkit lagi.
“Bersatu telah buat keputusan untuk tidak menyertai MN. UMNO pun telah buat keputusan dalam Perhimpunan Agungnya untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.
“Jadi apa lagi yang hendak diungkit?
“Ada hikmahnya Bersatu tidak bekerjasama dengan UMNO. Jadi Bersatu tidak terpalit dengan masalah moral yang membelenggu pemimpin UMNO.
“Secara peribadi saya malu untuk dikaitkan dengan parti yang masih mengangkat seorang yang telah didapati bersalah oleh mahkamah atas satu kesalahan jenayah berat sebagai boss,” tegas bekas Perdana Menteri itu sebagai menjawab dakwaan Najib Razak yang menuduh Bersatu mengkhianati UMNO bermula sejak pada PRN Sabah pada tahun 2020 lagi.
Mahiaddin berkata, Bersatu tidak pernah mengkhianati UMNO kerana tidak pernah bertanding menentang calon parti itu di mana-mana kerusi semasa PRN Sabah.
Sebaliknya, menurut beliau, sebarang konflik yang berlaku dalam PRN Sabah adalah sama ada antara BN dengan PBS atau BN dan rakan PN lain.
“Jadi saya tidak faham dengan tuduhan Najib bahawa Bersatu telah mengkhianati UMNO dalam PRN Sabah dan dengan itu ia ia didakwa menjadi punca MN gagal,” katanya.
Penjelasan Mahiaddin ini jelas menunjukkan Bersatu memang tidak ingin lagi untuk bekerjasama dendam UMNO atau menyertai MN selagi “kluster mahkamah”, terutama yang sudah disabitkan terus tercongok seolah-olah masih ada peranan penting dalam UMNO.
Begitu pun, ketegasan Mahiaddin ini berbeza sedikit dengan pendirian Pas, salah satu parti yang menganggotai PN dan rakan karib Bersatu yang dilihat masih cuba mahu merangkumkan UMNO – Pas – Bersatu dalam satu bakul kerjasama atas nama penyatuan ummah.
Bagi Pas, kerjasama mereka dengan UMNO saja, tanpa melibatkan Bersatu tidak bermakna apa-apa, malah lebih mungkin kecundang kepada PH dalam PRU15 akan datang.
Sebab itu, pendirian Pas agak keras terhadap UMNO selagi parti itu kekal menolak Bersatu.
Tetapi, dengan penegasan terbaru Mahiaddin ini, adalah jelas Bersatu sudah tidak teringin lagi untuk bersama dengan UMNO.
Apakah dengan pendirian terbaru Bersatu ini akan menyebabkan Pas juga menolak UMNO secara rasmi dan keluar daripada MN dengan segera?
Atau Pas masih tetap dengan agenda mahu menyatukan UMNO dan Bersatu? – ShahbudinHusin 04/01/2022.