MOHD SAYUTI OMAR
RENUNGAN
APABILA rintisan tahlul
syiasi antara Pas dengan Umno, Umno dan Pas ditularkan, ramai yang terkejut
antara yakin dengan tidak. Tidak kurang juga yang tersenyum membaca laporan itu
dengan pesimis dan menganggap ia suatu lelucon. Majlis yang berlangsung di PWTC
dengan menanda tangani piagama Muafakat Nasional (MN) pun dijadikan persendaan,
tetapi membawa isyarat seperti mahu jadi kenyataan.
Kenapa ada yang pesimis
kerana mengingati apa yang pernah dilakukan dan berlaku kedua buah parti itu.
Mereka pernah bersama tahun 1970-an, kemudian tidak sampai setengah hari
bergaduh dan berpecah semula.
Hinggalah apabila berlaku
pilihan raya kecil di beberapa kawasan, tahlul syiasi itu dipraktikan dan
menjadi kenyataan. Kedua parti tidak bertanding menentang dan lawan antara satu
sama lain. Kedua-duanya berpakat menghadapi PH. Hasilnya mereka menang.
Ada yang bimbang dengan
perkembangan itu dan ada yang seronok. Yang bimbang adalah pembangkang kerana
ia boleh mencabar mereka. Yang seronok ialah mereka nyang sejak lama ingin
melihat berlaku pertautan ukhwah keMelayuan dan keIslaman antara kedua parti
itu. Tetapi yang memahami sifat politik dan game politik, melihat dan
menerimanya biasa-biasa sahaja.
Kenapa begitu kerana
memahami keadaan hidup manusia. Selalunya manusia akan mencari teman bila
kesunyian. Akan ingat kepada sahabat apabila susah memerlukan bantuan. Berada
di mana sekalipun akan dicari dengan harapan dapat membantunya. Tetapi apabila
ia sudah senang, maka kawan tidak lagi diperlukan, waima kawan baik sekali pun
yang tinggal di sebelah rumah tidak akan dipedulikan, melainkan bertemu secara
tidak sengaja di jalanan. Ini nisbah.
Demikian apa berlaku
kepada Pas dan Umno, Umno dan Pas. Mereka sedia merintis kerjasama saling lupa
melupai sengketa lama dan membuka episod baru untuk kejayaan masa depan.
Seperti perangai manusia tadi saat mereka bersatu dan menyatu itu ketika mereka
lemah, terutamanya Umno. Umno baru menerima takdir kalah dalam pilihan raya
umum ke-14 dan hilang kerajaan yang dibanggakan. Selepas itulah Najib dan Hadi
Awang berpelukan dan menyucuh rokok bersama. Memnyedari mereka serumpun.
Pada masa Umno lemah dan
bersedih, Pas juga sedang dirundang rasa sedih dan terkilan apabila kekawannya
yang lari kemudian tubuh parti kuping, menang besar dalam pilihan raya.
Sembilan daripada ahli parlimen parti kuping itu dilantik memegang jawatan
penting, hingga jawatan menteri dan timbalan menteri dan ahli lain dilantik
mengisi jawatan dalam agensi kerajaan. Pencapaian cemerlang itu menjadikan Pas
malu dan nekad untuk mengatasinya. Pas jadi benar-benar terpukul malu
kemalu-maluan.
Demi untuk membalas
dendam kepada rakan-rakan Pas mencari peluang apa sahaja. Ini termasuk
kerjasama dengan Bersatu selepas dengan Umno. Apabila Pas melihat Bersatu dapat
memberi keuntungan besar kepadanya, ia memeluk dan kerabat Bersatu walaupun
tidak disenangi Umno. Umno marah tetapi kena faham apa yang dikehendaki Pas
sebenarnya.
Pas gunakan alasan untuk
perpaduan ummah, menguatkan Melayu dan agama, itu hanya lebong semata-mata, apa
yang dimaksudkan jawatan dan kedudukan untuk menunjukkan kepada rakan-rakannya
mereka juga hebat.
Jika difahami situasi itu
maka mudah untuk memahami keadaan hari ini kenapa Pas jadi macam motor bot
kehabisan minyak dan ketiadaan pendayung. Hanyut dibawa angin ke mana-mana
sahaja. Pemimpin mereka tidak peduli ke mana bot itu akan terdampar yang
penting mereka berada di atasnya. Berasa seronok meskipun seketika. Yang
penting dendam sudah terbalas.
Ramai orang kecewa dan
marah dengan sikap Pas itu. Itu tidak mustahak dan perlu diambil kira oleh
mereka. Untuk menghalal dan justifikasi tindakan Pas meninggalkan Umno, dituduh
Umno dengan berbagai cara dan tuduhan. Di gelar atau diibaratkan Umno sebagai
itik kaki patah yang sembuh kerana diubati Pas. Itik itu setetah kaki sembuh
hendak melawan bomoh pula. Tok bomoh dan dukunnya ialah Pas.
Sindiran itu pedih buat
Umno dan suatu penghinaan dan ia sengaja cari gaduh. Kerana merasa pedih
dibalas pula oleh Umno menggelarkan Pas sebagai berudu yang bermain dalam kolam
yang ada ikan. Selepas berudu itu tumbuh kaki dan ekor ia akan melompat ke
kolam lain untuk mendapat makanan.
Menyimpulkan apa yang
berlaku dan terjadi antara Pas dengan Umno, Umno dan Pas, itulah rupa bentuk
dan warna politik kita bangsa Malaysia sebenarnya. Prinsip dalam politik hanya
setakat di bibir mulut sahaja bukan dalam perbuatan. Cakap politik kononnya
untuk membela bangsa dan negeri, padahal politik untuk diri sendiri. Cerita
itik patah kaki dan berudu adalah dongeng politik orang Melayu yang terus
menjadi penghibur rakyat Malaysia. [wm.kl. 12:49 pm 31/01/2021]