Pengumuman penutupan 6 jalan menghala ke Kuala Lumpur serta 24 stesen tren LRT, Monorel, KTM bermula jam 7 pagi esok, Sabtu, 22hb Januari 2022 telah dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, *Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya* petang tadi.
Arahan oleh pihak atasan Polis Diraja Malaysia bertujuan menghalang kempen #TangkapAzamBaki yang bakal berlangsung di 3 lokasi iaitu di Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Jamek.
Kami ambil maklum dan amat kagum dengan kerahan seramai *1,010 pegawai dan anggota PDRM* bagi tujuan *Operasi Menyelamat Azam Baki* yang menyebabkan sebahagian besar Bandaraya Kuala Lumpur dalam keadaan ‘lockdown’ untuk hanya satu individu.
Tindakan keterlaluan ini menimbulkan gambaran seolah-okah ada rahsia yang melibatkan watak-watak berprofil tinggi ingin ditutup, terutamanya berkaitan isu rasuah dan salah guna kuasa.
Kita belum lupa, mantan Perdana Menteri Najib Razak sendiri pernah ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia disebabkan beliau terpalit dengan rasuah.
Sebaliknya Azam Baki hanya Ketua Pesuruhjaya SPRM tapi seolah-olah lebih kebal dan berkuasa berbanding orang yang pernah memegang jawatan tertinggi negara ini.
Melihat situasi ini, kami sebagai rakyat Malaysia yang prihatin tiada pilihan lain kecuali meneruskan dengan gesaan #TangkapAzamBaki pada hari esok, jam 11:00 pagi, Sabtu, 22hb Januari 2022 di bawah jambatan *LRT Bangsar* Jalan Bangsar.
#TangkapAzamBaki yang disokong oleh 33 buah NGO dan 11 buah organisasi politik akan dijalankan secara aman dengan menepati SOP bagi meminimumkan penyebaran wabak COVID serta keselamatan rakyat Malaysia keseluruhannya.
Berundur bukan lagi pilihan. Melawan, mendesak dan memastikan kedaulatan undang-undang tertegak sepertimana sepatutnya dalam sendi Rukunegara.
Kami menyeru seluruh rakyat yang cintakan negara untuk bersama kami, mempertahankan integriti dan menyebar kebencian terhadap rasuah dan perasuah.
Selamatkan Malaysia.
Dikeluarkan oleh:
*JAWATANKUASA*
*BERTINDAK*
*TANGKAP*
*AZAM BAKI*
[