Berapa Ngo sedang susun agenda tukar kerajaan Kelantan

Berapa Ngo sedang susun agenda tukar kerajaan Kelantan

SESUDAH SUBUH







KEINGINAN rakyat Kelantan yang berada di luar (perantau) untuk melihat berlaku perubahan pemerintahan negeri itu daripada Pas kepada parti atau entiti lain sangat ketara dan serius. Ini terbukti dengan tertubuhnya beberapa Ngo yang diasaskan oleh rakyat Kelantan yang berada di luar Kelantan. 

Ngo tersebut lahir atau ditunjangi oleh individu mempunyai iktisad dari berbagai cabang atau kelas rakyat Kelantan, profesional, peniaga, mahasiswa dan juga bekas pegawai kerajaan (pensiun).

Tidak cukup bukti itu, banyak cakap-cakap dan runggutan kekesalan dan kecewa kepada kerajaan Pas hari ini dalam menguruskan negeri dan rakyat banyak yang pincang ataupun cacat. Kelemahan itu menyebabkan seolah-olah kerajaan Kelantan tidak berfungsi dan hanya setakat melaungkan slogan retorik "Membangun Bersama Islam" semata-mata.

Banyak tuntutan Islam tidak dilaksanakan atau diusahakan secara bersungguh. Misalnya kelestarian alam sekitar, hutan belantara dan sungai di Kelantan diceroboh sesuka hati lantaran gilakan balak dan mineral sehinggakan Kelantan tidak simpati lagi dengan haiwan. Baru-baru ini tular harimau belang merayau-rayau di kampung kerana sudah tidak betah untuk tinggal dihabitat asal mereka kerana ia sudah dirosakkan. 

Beberapa batang sungai juga airnya tercemar dan keruh menyebabkan segala hidupan di dalamnya seperti udang dan kelah, sebarau, dan lain-lain sudah pupus atau tidak ada langsung. Anugerah asal untuk kemakmuran rakyat Kelantan sudah tidak ada lagi. 

Kempen menukar kerajaan.

Sehingga kini terdapat sekurang-kurang tiga buah Ngo yang aktif memberi penerangan atau kempen untuk menukar kerajaan Kelantan hari ini yang sudah 31 tahun. Ia dijalankan secara dalam talian atau pun grup WhatsApp. Salah satu ia terdiri daripada rakyat Kelantan professional terdiri daripada pelbagai bidang.

Ngo berkenaan yang tidak dizahirkan nama, hanya menyebut "Rakyat Kelantan Prihatin", telah pun mengadakan sekurang-kurang dua kali pertemuan untuk merangka strategi ataupun pendekatan yang akan diambil untuk memastikan kerajaan Kelantan yang ada kini berubah atau berganti dengan kerajaan baru. 

Ngo berkenaan tidak menamakan sesiapa ketua mereka, tetapi bergerak secara bersama dan penuh iltizam. Antara sebab dan aslasan diberikan kenapa kerajaan Kelantan perlu ditukar adalah untuk membela rakyat Kelantan bagi mendapat hak mereka seperti mana diharapkan disamping rakyat dan negeri Kelantan maju sejajar dengan negeri-negeri lain. 

Dengan segala macam aset atau kekayaan semulajadi Kelantan yang dianugerahkan Allah seharusnya rakyat Kelantan mendapat kesenangan dan makmur sekiranya negeri Cik Siti Wan Kembang itu diurus dengan baik dan professional.

Kebijaksanaan pihak yang memerintah mengurus dan mentadbir Kelantan juga boleh mengeluarkan Kelantan daripada senarai tiga negeri termiskin di negara ini selepas Sabah, Sarawak dan Kedah. 

Beberapa buah Ngo berkenaan merumuskan keraguan mereka akan kemampuan kerajaan Kelantan dibawah Pas kini untuk mengurus dan mentadbir Kelantan dengan baik dan berkesan. Selama 31 tahun Pas memerintah Kelantan sejak tahun 1990 tidak nampak impak besar berlaku ke atas pembangunan di negeri itu baik sosial, ekonomi, budaya dan juga pendidikan. 

Kalau pun ada pembangunan dari segi syiar Islam itupun boleh dipertikaikan akan ketepatan dan keberhasilannya kepada rakyat.  

Usahkan pelan struktur pembangunan fizikal, tetapi pelan dalam khayalan (kepala) para pemimpin hari ini, pun tidak pernah dibentangkan. Ia jauh berbeza semasa arwah Tok Guru Nik Aziz Nik Mat ada yang memiliki arkitek pembangunan sosial ekonomi dan politiknya Husam Musa. Berbagai idea dan cetus projek dilakukan oleh Husam ketika itu, antara pembinaan lebuh raya rakyat Kelantan (LRK), projek yang dimulakan dengan penglibatan rakyat (menderma) itu tidak diteruskan hingga sekarang. Apa juga boleh disebut projek keretapi laju (ECRL), orang terawal mengimpikan itu ialah Husam. 

Kelemauan kerajaan Kelantan untuk meneruskan projek itu menjelaskan bahawa kerajaan pimpinan Ahmad Yakob tidak ada political will langsung untuk merubah Kelantan. 

Begitu juga dalam bidang pertanian, untuk menambahkan pendapatan rakyat, berbagai skim dan projek pembangunan sosial dilaksanakan atau dicetuskan ketika itu. Walaupun beberapa projek itu tidak berjaya seperti diharapkan, tetapi setidak-tidaknya ia ada idea dan wawasan jelas untuk membangun Kelantan dan rakyat. 

Untuk orang miskin ada projek rumah Dufah, skim bantuan beras Aitam, pemberian haiwan pawah, bantuan untuk orang tua dan pelajar, pembukaan ladang rakyat serta pengenalan tanaman baru seperti depu dan sebagainya.

Tahap keberadaan Kelantan dalam aspek pembangunan asas juga seperti dahulu. Kelantan belum ada satu pun projek mega yang boleh meledakkan pembangunan di Kelantan seperti industeri hiliran sekaligus menjadi ikon kepada kerajaan berusia 31 tahun. Ketiadaan pembangunan ini adalah disebabkan ketidak mampuan kerajaan yang ada hari ini.

Manakala pendekatan atau sikap diambil oleh Ngo berkenaan dalam usaha merubah kerajaan kini bukan berpihak kepada mana-mana parti politik. Ia bukan partisan.  Ngo berkenaan akan menggerakkan memberi pemahaman dan kesedaran umum khasnya pengundi di Kelantan untuk tidak memilih parti politik bagi pembentukan kerajaan apa lagi mengekalkan wakil-wakil rakyat yang berada di kerusi MB, TMB dan Exco sekarang. 

Sebaliknya rakyat Kelantan disarankan untuk memilih individu atau batang tubuh dalam pilihan raya akan datang yang diharap diangkat menjadi pemimpin kerajaan.  

Individu yang akan dipilih itu nanti mereka yang mempunyai kepakaran, berilmu sesuai dengan citarasa rakyat Kelantan, ada kesedaran dan komitmen tinggi untuk merubah Kelantan. Mereka juga bersikap terbuka "tasamuh" dan tidak emotif dengan parti politik. 

Dalam hal ini satu kaedah atau garis panduan akan dikeluarkan oleh Ngo berkenaan kepada pengundi Kelantan untuk memilih wakil-wakil rakyat kelak menjelang pilihan raya kelak. Mungkin juga Ngo itu akan menunjukkan individu yang diharap untuk menjadi MB Kelantan selepas ini.[wm.kl.8:38 am 19/01/2022]