Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
meletakkan tiga daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi
sebagai penanda aras pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Katanya, tiga kerusi itu adalah Telang Usan, Mulu dan Lambir.
"Ia bermakna menang atau tidak itu menjadi jelas dan saya
lebih optimis meletakkan tiga kawasan yang dianggap mempunyai peluang cerah
kepada KEADILAN.
"Tiga kawasan itu sebagai kayu pengukur. Jika tiga kawasan
itu dapat kami atasi, maka KEADILAN masih ada peluang cerah untuk menang,"
katanya.
Saifuddin berkata, calon KEADILAN DUN Mulu, Roland Engan, adalah
peguam yang sangat dikenali dalam komuniti tempatan terutama membabitkan isu
tanah dan sijil kelahiran.
Katanya, calon KEADILAN Telang Usan iaitu Philip Jau Ding, adalah
aktivis masyarakat yang lantang membantah pembinaan Empangan Baram hingga
dibatalkan pada 2015 oleh Ketua Menteri ketika itu, Tan Sri Adenan Satem.
"Di DUN Lambir, ini adalah kali ketiga calon KEADILAN,
Zulhaidah Suboh, bertanding. Dalam dua percubaannya dahulu, graf beliau
meningkat dan setia menjalankan aktiviti di lapangan selama ini," katanya.