Sebelum bom jangka dalam Umno meledak


Umno semakin kesuntukan masa. Meskipun hayat kerajaan yang dipimpinnya sekarang cuma akan mencapai tarikh luputnya pada pertengahan 2023, ia perlu bertindak segera untuk menggilap kewibawaannya yang nampaknya semakin tertekan dan tercemar.

Jika isu ini diabaikan, maka bererti ia menyerah tanpa berusaha untuk mengekalkan monopoli kuasa memerintah Malaysia sejak lebih enam puluh tahun lalu. Malah ia akan menjadi institusi Melayu-Islam yang akan dipersalahkan oleh sejarah generasi akan datang.

Cacat yang mempalit Umno kini ialah ia enggan memugar kewibawaannya sebagai pembela umat. Hari ini ia dilihat sebagai parti yang terlalu lelah sehingga tidak berupaya mengikis daki politik yang melekat pada kulit maruahnya.

Mutakhir ini Umno dihukum kurang bermaruah kerana mengizinkan tempekan rasuah dan salah tadbir urus mewarnai corak pentadbirannya. Yang menyedihkan ialah kebobrokan ini dibongkar dan dilaungkan pada umum oleh pemimpin dan mantan pemimpin-pemimpinnya sendiri.

Ini belum mengambil kira serangan-serangan politik yang dilancarkan bertali arus oleh parti-parti saingannya yang mempertikaikan wibawa pemimpin-pemimpin Umno. Perihal Umno mengamalkan pimpinan kleptokrasi seakan tidak ditentang sama sekali oleh Umno.

Sebaliknya amat mudah disinonimkan Umno dengan kecurangan tidak amanah. Mungkin Umno terlalu yakin pada diri dan keupayaannya sendiri. Bagaimanapun yang mengerikan ialah kecacatan ini seolah terus berlumut pada wajahnya sejak kalah PRU14 Mei 2018 lalu.

Punca kecundangnya Umno hingga terperosok menjadi parti pembangkang ialah kleptokrasi. Meskipun sedar ia adalah virus politik paling ganas menghinggapi Umno, tiada langkah tuntas diusahakan oleh kepimpinan Umno.

Teraju pimpinan Umno lebih banyak menumpukan masa menghadapi tuduhan-tuduhan jenayah urusan kewangan di mahkamah. Baik presiden mahupun mantan presiden menjadi tajuk utama di media tempatan dan antarabangsa.

Yang membimbangkan ialah tiada usaha struktural dilaksanakan bagi memberi Umno bernafas dengan susuk parti politik yang sasa dan perkasa. Agak sukar bagi Umno untuk menggantungkan harapan pada keputusan mahkamah bahawa pemimpin utamanya itu bersih dari segala tuduhan.

Sementara itu Umno menjadi sasaran mudah untuk diperkotak-katikkan oleh parti hijau seperti Bersatu, Pejuang, dan terbaharu, Muda memperolehi perintah mahkamah supaya segera didaftarkan kerajaan.

Umno kini tidak dilihat sebagai parti yang memimpin tetapi lebih dipimpin oleh rakan-rakan kongsi yang belum pasti boleh kekal sehingga PRU akan datang.

Memang benar Umno menang bergaya dalam PRN Melaka bulan lalu. Namun umum tahu PRN itu berlaku kerana Umno tidak mampu menyelesaikan masalahnya dalamannya di negeri itu. PRN itu hanya usaha Umno cuba menyapu sampah di halamannya sendiri.

Memang tiada siapa yang boleh mendakwa menang dalam PRN itu kecuali Umno. Bagaimanapun ia sebenarnya adalah hanya kejayaan Umno melengahkan meledaknya bom jangka daripada meledak dalam Umno sendiri.

Oleh kerana pimpinan Umno kurang tegas, kurang hemah, dan kurang bijaksana, halamannya kelihatan bersih seketika. Namun bayu tidak lembut sentiasa. Ia boleh bertukar ribut jika tiada usaha menjaga halaman dengan tertib dan saksama.

Mujur masih ada pemimpin Umno yang boleh diharapkan. Timbalan Presiden Mohamad Hassan dan pasukannya masih berdaya memastikan Umno tidak kehilangan Melaka. Namun cabaran PRU15 menjanjikan cabaran lebih besar lagi.

Jika beban maruah yang lebih berat menimpa Najib dan Zahid Hamidi di mahkamah, belum tentu Tok Mat dan pasukannya mampu menggalasnya. Jika itu berlaku punah wibawa Umno dan hanya bacaan talqin akan menghurunginya.

Justeru pengijazahan pasukan Tok Mat perlu dilakukan segera. Berilah mereka peluang dan ruang menentukan sikap sebenar Umno ketika disergah badai politik negara hari ini. Izinkan mereka memulakan usaha mempertahankan maruah Umno dengan rekod yang bersih.

Isu Digital Nasional Berhad (DNB) boleh jadi garis pemisah di antara Umno dengan parti Melayu-Islam lain. Tok Mat dah mulakan langkah pertama.

Beliau cuba menepis kemungkinan Umno dipalitkan dengan beban ketidaktelusan kerajaan pimpinan Bersatu yang sebelum ini memuktamadkan projek puluhan billion ringgit dalam bentuk DNB untuk melaksanakan pelaksanaan jaringan 5G.

Syarikat SPV milik penuh Kementerian Kewangan telah diperuntukkan spektrum 5G secara percuma dan eksklusif. Ia kemudian akan dijual kepada syarikat-syarikat telekomunikasi mengikut model “Single Wholesale Network” (SWN).

Pendekatan ini secara efektif memberikan DNB monopoli khusus dalam pelaksanaan dan pengendalian perkhidmatan 5G seluruh Negara selama 10 tahun.

Sehingga kini, kerajaan gagal menjelaskan rasional menggunakan model ini. Apa kewajaran penubuhan DNB ini sebenarnya? Jika ia lebih efektif, jelaskan bagaimana ia akan lebih efektif dalam pelaksanaan jaringan 5G tanpa persaingan.

Tok Mat mempersoalkan: “Perlukah kerajaan melibatkan diri dalam perniagaan sehingga mewujudkan satu lagi syarikat berkepentingan kerajaan?”

Tok Mat mahu kerajaan menjelaskan juga kelestarian model kewangan dalam membiayai DNB dan mandatnya.

Apa lagi bila DNB mengumumkan pelancaran rangkaian 5G di seluruh negara menelan belanja sehingga RM20 Bilion selama 10 tahun dengan pendanaan melalui pinjaman bank dan penerbitan sukuk.

Kenyataan yang mengatakan bahawa model pembiayaan yang dicadangkan tidak akan melibatkan jaminan kerajaan adalah janggal. DNB adalah milik kerajaan. Pastinya sebarang risiko atas hutang dan keperluan kewangan operasinya akan secara langsung menjadi beban kerajaan.

DNB juga diberi tanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan kesediaan dan kualiti perkhidmatan rangkaian adalah terjamin kepada pengguna.

Jika mengikut model 3G/4G terdahulu, tanggungjawab ini adalah terletak kepada syarikat telekomunikasi. Ia mewujudkan persaingan yang sihat antara mereka untuk memberi perkhidmatan terbaik dan pengguna mempunyai pelbagai pilihan.

“Bagaimana DNB akan menjadi katalis kepada persaingan sihat ini?” tanya Tok Mat Hassan.

Dengan pemusatan semuanya kepada DNB sebagai penyedia, risiko untuk berlaku ‘single point of failure’ seperti yang berlaku pada rangkaian Starhub di Singapura April lalu boleh terjadi dan berpotensi menjadi kerumitan yang besar kepada rakyat dan negara.

Kerajaan pasti maklum bahawa model SWN ini telah terbukti gagal di negara seperti Mexico, Belarus, Rwanda, Kenya, Russia dan Afrika Selatan semasa implementasi rangkaian 4G.

Keengganan negara-negara luar untuk mengikut model ini memberi petunjuk yang jelas berkenaan kelemahan model ini.

Risiko yang diambil oleh kerajaan memerlukan penjelasan yang konkrit. Defisit keyakinan terhadap DNB dan model SWN nampaknya semakin jelas dan kerajaan mesti menanganinya, kata Tok Mat.

Beliau terpaksa sekali lagi mengeluarkan kenyataan penyendal serangan tambahan bagi melengahkan satu lagi beban politik raksasa yang bakal menimpa Umno akibat ‘perbuatan’ orang lain.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.