PKR mungkin tanding 25 kerusi pada PRN Sarawak, kata Anwar

 

Anwar Ibrahim berkata, PKR tidak bertanding banyak kerusi pada PRN Sarawak susulan persefahaman dengan DAP dan Amanah, selain beberapa kerusi yang mungkin diberikan kepada calon Parti Sarawak Bersatu.

PETALING JAYA: Presiden PKR, Anwar Ibrahim tidak menolak kemungkinan partinya akan bertanding di 25 daripada 82 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak.

Katanya, rundingan pembahagian kerusi dalam Pakatan Harapan (PH) belum dimuktamadkan lagi.

“Kita tidak banyak (tanding kerusi) sebab kita telah ada persefahaman dengan DAP dan Amanah, dan di beberapa kerusi mungkin dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

“Tetapi, tidak ada penyelesaian di situ (kerjasama dengan PSB), yang pentingnya PH.

“Jadi, saya fikir sekitar 25 kerusi begitu, tapi belum muktamad. Saya fikir lebih baik kita tumpu di kawasan-kawasan ini dan beri ruang kepada rakan-rakan parti kita lain untuk bersama dalam pertempuran,” katanya selepas lawatan ke Song di Kapit, Sarawak hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, semangat kerjasama dan muafakat antara PKR dan DAP perlu dimantapkan lagi untuk mengelakkan pertindihan kerusi.

“Ini saranan kepada tokoh-tokoh kecil nak bersuara, saya tidak ada masalah.

“Tetapi bagi kita yang pentingnya pimpinan PKR dan DAP itu percaya bahawa muafakat kerjasama ini harus mantap dan oleh itu kita elak pertindihan,” katanya menjawab soalan mengenai semangat setiakawan dengan DAP ketika ini.

No comments: