Bossku Kan Pemimpin Melayu.
Samunlah Lagi Bagi Kami Sikit. Pasir Masih Banyak Lagi Untuk Direbut. Binalah Banyak-Banyak Water Front Cities 2.0+3.0+Hingga7.0.
Maka janganlah nak malu malu
Apa malu jadi orang melayu yang tak tahu malu
Abdullah Munshi Pun Masih Hingga Kini Dimarah
Malah Dibenci Kerana Dia Pernah Menuliskan
Bahawa Orang Melayu Di Sebuah Negeri Adalah Pengotor
Perjuangan memerdekakan Tanah Air dari cengkaman penjajah
adalah perjuangan yang amat getir merentas waktu yang panjang
perjuangan itu memakan korban ramai pahlawan gugur tak berkubur ramai pahlawan tak didendang tak diingat nama apatah lagi jasa mereka dan pada suatu detik dalam satu ketika Merdekalah Tanah Air ini dimasyhurkan dengan laungan Merdeka!Merdeka! Merdeka! Merdeka! bergenta memintas angin merentas titiwangsa dari pangkal ke hujungnya.
Perjuangan memerdekakan Tanah Air dari cengkaman penjajah
rupa-rupanya tidaklah segetir mana sukarnya
rupa-rupanya lebih sukar memerdekakan Tanah Air ini
dari bangsa sendiri yang lebih penjarah dari penjajah itu sendiri
yang lebih bedebah dari aparat-aparat penjajah itu berdiri
yang lebih sukar dikenali kerana sang bedebah dan penjarah itu
terdiri dari diri kita sendiri yang ratusan tahun diternak berjiwa hamba
yang setia dalam dungu dan lugu diternak sebagai peminjam telinga,
otak dan mulut sang bedebah di mimbar biara sang penjarah di kepok bahara dalam dendang nyanyi lagu ketuanan tudung saji hanyut terapung
yang bertanam pohon nan condong yang ayamnya menang kampung tergadai yang baik budinya Emak Si Randang seiring Pak Pandir dan Lebai Malang ramai-ramailah menyanyikan biarkan Si Luncai Terjun Dengan Labu-labunya Biarkan! Biarkan! Biarkan.
Demikianlah Tanah Air ini rakyatnya hidup caca marba.
Bahasanya dibelit ular dan belut, budayanya kelam kabut.
Buminya gunung ditarah, bukit jadi lurah, belantara habis rebah
Sungai jernih jadi keruh, udara bersih jadi geruh
Dan pastinya dengan berkata begini
akan ada cerdik pandai yang akan marah-marah
kerana mereka merasakan aku menghina bangsaku melayu
yang selama ini jadi sang kuasawan dengan slogan hidup melayu.
mereka membuat bangsa Melayu ditimpa hina sebagai lanun dan penyamun jadi-musang-jadi-king-jadi-dewa-jadi-ular-sawa
demikian taksubnya mereka meraikan Apa Malu Bosssku.
Bossku kan pemimpin Melayu. Samunlah lagi bagi kami sikit.
Bila negara jadi bangkrap pasir masih banyak lagi untuk direbut.
Binalah banyak-banyak water front cities 2.0 +3.0+ hingga ke 7.0.
Abdullah Munshi Pun Masih Hingga Kini Dimarah
Malah Dibenci Kerana Dia Pernah Menuliskan
Bahawa Orang Melayu Di Sebuah Negeri Adalah Pengotor
Maka janganlah nak malu malu
Apa malu jadi orang melayu yang tak tahu malu
yassinsalleh
5.6.2020
(Edited 3.12.2021)
Galeri Ikan Ikan Di Kaca
Hak Cipta 2020 yassinsalleh
Semua Hak Terpelihara