PETALING JAYA: Seorang bekas pembantu Najib Razak mencabar kerajaan mengesahkan kesahihan laporan yang didakwa disediakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz serta bekas menteri persekutuan, Nor Mohamed Yakcop.
Petikan daripada laporan itu didedahkan bekas wartawan Romen Bose dalam buku bertajuk “Final Reckoning: An Insider’s View of the Fall of Malaysia’s Barisan Nasional Government”.
Bose berkata, sejak 2018, SPRM didakwa menyiasat Zeti dan Nor Mohamed atas penglibatan mereka dalam isu 1MDB, bahkan badan itu dikata menyediakan kertas siasatan bertajuk “Laporan Kes AmBank”.
Menurut bekas konsultan Najib itu, siasatan berkenaan didakwa mendapati ahli keluarga Zeti dan Nor Mohamed menerima wang berkaitan 1MDB yang “disorok” di Singapura.
Bulan lalu, SPRM mendedahkan ia berjaya mendapatkan semula kira-kira RM65 juta dana 1MDB daripada sebuah syarikat dikuasai suami Zeti, Tawfiq Ayman.
Dana itu disebut sebagai derma politik daripada kerabat diraja Arab Saudi.
Bose berkata, Najib memberitahunya beliau memaklumkan Zeti mengenai sumber dana itu dan Zeti memberitahu beliau tidak nampak sebarang isu dengan tindakannya (Najib) membuka akaun bank untuk menerima wang berkenaan.
Najib memberitahu Romen, beliau mengharapkan Zeti untuk memaklumkannya jika timbul persoalan berhubung kesahihan derma itu, berdasarkan kedudukannya sebagai ketua bank pusat.
Apabila berita berhubung dana itu dilaporkan di media dan pasukan petugas khas mula menyiasat skandal 1MDB, Najib berkata, Zeti memberitahunya beliau tidak boleh memberi komen mengenai transaksi berkenaan atas alasan siasatan masih berterusan.
“Najib berkata beliau amat bingung kenapa dia (Zeti) pada mulanya dengan senang hati bersetuju akaun itu dibuka kemudian, tiba-tiba dilihat cuba menjauhkan diri” tulis Bose.
Bose, bekas wartawan Al Jazeera dan AFP, merupakan perunding komunikasi politik Najib ketika beliau menjadi Perdana Menteri.
Penjualan buku itu akan bermula 14 Dis ini. Tempahan awal boleh dibuat melalui kedai buku ini: