Calon KEADILAN DUN Sadong Jaya,
Piee bin Ling atau Cikgu Piee berkata, kawasan itu perlukan lebih banyak
program dan insentif pertanian bagi memajukan sektor berkenaan.
Beliau juga berkata, KEADILAN berjanji akan membina lebih banyak pasar borong bagi memudahkan petani menjual sayur sayuran yang ditanam.
"Sadong Jaya merupakan kawasan pertanian pisang, sayur-sayuran, jagung dan perikanan. Yang amat mengecewakan, ketiadaan pusat pemasaran yang sempurna sedikit sebanyak membantutkan usaha para petani dan nelayan mendapat hasil jualan yang lebih baik.
"Jika sektor pertanian dibangunkan dengan mantap dan pasar borong dimajukan untuk memasarkan hasil pertanian tempatan, petani-petani kecil akan dapat memasarkan hasil mereka dengan mudah dan pada harga yang berpatutan. Maka petani Sadong Jaya mampu mencapai taraf hidup yang lebih baik.
"Para nelayan di DUN ini juga perlu sokongan khas termasuk bantuan dana melalui Skim Mikro-kredit sebanyak RM10,000 untuk menaikkan taraf bot dan barang keperluan untuk penangkapan ikan. Kilang pemproses produk hasil laut tempatan juga harus didirikan bagi menggalakkan pemasaran produk berkualiti tinggi untuk diekspot," katanya dalam sidang media atas talian, pagi tadi.
Selain itu, kata Cikgu Piee, beliau juga berjanji untuk menyediakan sistem perparitan yang lebih baik bagi mengelakkan kejadian banjir yang kerap berlaku.
"Keadaan sistem perparitan yang tidak sempurna telah menyebabkan kekerapan banjir kilat di beberapa kawasan kampung dan sekitarnya. Penyelenggaraan oleh pihak berwajib perlu dipertingkatkan agar kejadian banjir ketika musim hujan dapat dielak terutamanya di Kampung Semera Ulu dan Jemukan Ulu," katanya.
Selain itu, beliau juga berjanji akan memperbaiki capaian internet yang lemah bagi memudahkan pembelajaran anak anak sekolah. Juga petani dan nelayan perlu digalakkan melibatkan diri dalam aktiviti usahawan dan “e-commerce” sekiranya capain internet lebih baik.
Di samping itu Cikgu Piee turut mengkritik sikap kerajaan GPS yang memberi bantuan secara pilih kasih dan berjanji sekiranya Pakatan harpaan menubuhkan kerajaan maka pemberian bantuan akan dilakukan kepada semua yang layak.