Skandal 1MDB: Siapa Samuel Goh yang dinamakan SPRM?

 

facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 
Puad Zarkashi sebelum ini mempersoalkan kenapa Zeti Akhtar Aziz dan bekas menteri Nor Mohamed Yakcop tidak dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Najib Razak.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, meminta pihak berkenaan memeriksa Samuel Goh yang dinamakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan 19 Nov berkaitan aset dana 1MDB.

Beliau merujuk kepada kenyataan SPRM yang mendedahkan bahawa Goh dan Tawfiq Ayman, iaitu suami bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, memiliki akaun di satu syarikat yang berpangkalan di Singapura, Cutting Edge Industries Ltd.

“Dalam kenyataan SPRM, Goh adalah rakan kongsi Tawfiq,” kata Puad di Facebook, sambil menggesa sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk melihat perkara itu.

Pada Februari FMT melaporkan Tawfiq dan anak-anaknya menguruskan akaun bawah nama Cutting Edge Industries Ltd, yang menerima wang yang dikaitkan dengan 1MDB.

Menurut pendedahan MalaysiaToday, wang dalam akaun itu disalurkan daripada Iron Rhapsody Ltd yang ditubuhkan untuk menerima wang daripada ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low.

Menurut laporan The Edge, Iron Rhapsody menerima USD16.22 juta daripada syarikat atau akaun bank yang dikaitkan dengan Low pada 2008 dan 2009.

Puad menarik perhatian kepada dakwaan bahawa Goh turut membantu seorang tertuduh dalam satu kes berkaitan 1MDB di Singapura, Yeo Jiawei.

Mahkamah Singapura pada 2016 diberitahu bahawa Yeo didakwa meminta Goh menubuhkan “shell company” untuk menjadi perantara antara sebuah syarikat yang dikatakan menerima wang daripada syarikat berkaitan 1MDB, Brazen Sky, dan firma-firma yang dikawal Yeo.

“Semasa jadi saksi perbicaraan di mahkamah Singapura…Goh mengakui membantu Yeo,” katanya.

Yeo pada 2017 dijatuhi hukuman penjara 54 bulan atas kesalahan pengubahan wang dan penipuan, berkaitan siasatan ke atas wang berjumlah berbilion dolar yang didakwa digelapkan daripada 1MDB.

Puad sebelum ini mempersoalkan kenapa Zeti dan bekas menteri Nor Mohamed Yakcop tidak dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Najib Razak berkaitan bekas unit 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

“Kerajaan hanya tahu pada tahun 2019 kes yang libatkan suami Zeti. Dari segi keadilan kenapa maklumat penting ini tidak diberikan kepada peguam Najib semasa perbicaraan kes SRC dulu?” katanya.

No comments: