Tiada royalti petroleum untuk Kelantan, hanya wang ehsan
PETALING JAYA: Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, beliau berkata, ini kerana kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan.
Namun begitu katanya, memandangkan lokasi medan petroleum adalah berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, maka kerajaan persekutuan membuat pembayaran dalam bentuk wang ehsan.
“Ia bagi melaksanakan projek dan program untuk manfaat rakyat di negeri tersebut,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta kerajaan menyatakan status terkini tuntutan bayaran royalti tunai oleh kerajaan negeri Kelantan.