Kempen Pilihan Raya Negeri
(PRN) Melaka yang tidak dapat dianjurkan seperti biasa secara ceramah umum
dihadiri ribuan rakyat diganti ceramah atas talian oleh kepimpinan Pakatan
Harapan (PH).
Meski pun hanya rakaman, namun
pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi begitu
bersemangat menyeru agar pengundi di Melaka membuat perubahan dalam PRN 20
November ini.
Beliau memberi ingatan agar
pengundi tidak terpedaya dengan ungkapan antirasuah pemimpin BN dan PN
sedangkan masing-masing mempunyai kekayaan melimpah ruah.
Katanya, rakyat Melaka
mempunyai peluang terbaik untuk melihat kerajaan yang bersih tanpa skandal
pasir atau mengagih projek kepada kroni dengan memilih selain BN atau PN.
"PRN ini (kata orang) tak
merobah semua. Tak betul, pilihlah orang yang anti rasuah. Orang bercakap anti
rasuah ramai, semua anti rasuah tetapi pasir yang menelan ratusan juta itu
dibolot oleh segelintir kelompok, nelayan terpinggir.
"Saya pergi ke Tanjung
Bidara nelayan mengeluh. Tempat teduhan tak ada, jeti tak ada. Nelayan hampir 3
generasi kehidupannya hampir sama.
"Pergi kawasan Felda, baik
di Asahan, Rim, Machap tidak banyak yang diberi sentuhan untuk bawa perubahan.
Peniaga kecil Melayu, Cina, India, tak bolehkah kita bangunkan tempat
perniagaan yang lebih baik.
"Masalah negara kita ini
ialah dasar ditentukan oleh kelompok kecil yang jaga kepentingan sendiri.
Pemimpin ada ratusan juta tetapi isytihar menentang rasuah. Pemimpin jenis ini
hanya bicara menentang rasuah bila hampir pilihan raya, pada waktu lain
merekalah jaguh memperkaya anak, isteri dan kroni," katanya.
Selain itu, Ahli Parlimen Port
Dickson tersebut juga menempelak gaya berkempen BN dan PN yang lebih menekankan
dominasi Melayu dalam politik. Memastikan Ketua Menteri Melayu, ADUN Melayu dan
kalau boleh semua pimpinan Melayu.
Anwar turut mempersoalkan
kempen 'merapu' komponen PN yang mengaitkan PH dengan ideologi komunisme dan
segala macam kebencian lain. Sedangkan hal itu tidak boleh dibuktikan dan
memang tidak wujud sama sekali.
"Yang ditonjolkan Ketua
Menteri Melayu, ADUN majoritinya Melayu. Sedangkan yang perlu dipastikan
perwakilan cukup dari semua kaum.
"Cakap soal Islam, kempen
konon kalau PH menang komunis akan berkembang. Kalau di Pulau Pianng pula dah
jadi negara Kristian, tak ada azan. Janganlah perbodohkan rakyat. Mereka kalau
tahu apa yang berlaku, dia akan menolak orang begini. Gunalah nama apa, pakai
jubah, tetapi kalau bercakap bohong mengelirukan, kita wajib menolak kenyataan
seperti itu.
"(Realitinya) anak-anak
yang tak bayar PTPTN boleh keluar negara? Tak boleh, kerana dibeku perjalanan
dan pasport tetapi orang besar kalau pun didakwa dan dihukum rasuah, semua
dilepaskan.
"Kalau mahkamah nak
lepaskan urusan mahkamah, tetapi kenapa yang kecil ini dianggap separuh hamba,
dipermainkan dan dinafikan hak mereka. Ini yang kita tolak.
"Saya nak rayu kepada
saudara saudara, buat pilihan terbaik dan inshaAllah kita akan cuba sedaya
upaya untuk bawa perubahan untuk di Melaka supaya lebih bermakna lagi,"
katanya.