Panas! Azmin ‘sekolahkan’ MB Pas Kedah isu tutup kedai judi
Kerajaan negeri Kedah perlu mengadakan perbincangan lebih lanjut dengan pihak berkepentingan sebelum melaksanakan larangan ke atas kedai loteri 4D di negeri itu, kata Mohamed Azmin Ali.
Menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata perkara itu mesti dibincangkan dengan lebih lanjut kerana ia melibatkan hak orang lain.
“Ia adalah keputusan kerajaan negeri, tetapi saya berpandangan kita perlu memelihara keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum termasuk di Kedah.
“Saya mahu melihat lebih banyak perbincangan dengan semua pihak berkepentingan mengenai keputusan ini. Kita mesti saling menghormati… dalam masyarakat kita yang berbilang kaum,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan jawatankuasa surau di Melaka malam ini.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan mengenai fokus perbincangan itu.
Azmin adalah menteri persekutuan pertama yang memberikan pandangannya mengenai larangan loteri 4D sejak ia diumumkan semalam.
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menimbulkan kontroversi selepas mengumumkan bahawa negeri itu tidak akan memperbaharui lesen perniagaan kedai loteri 4D, yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata keputusan itu akan berkuat kuasa mulai tahun depan, sambil menambah bahawa langkah itu akan membantu menangani penyakit akibat perjudian.
Beliau berkata mereka di Kedah yang ingin membeli tiket 4D boleh pergi ke Pulau Pinang.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng telah meminta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, serta menteri MCA, MIC dan Gabungan Parti Sarawak untuk menjelaskan sama ada pengharaman kedai 4D dan penjualan alkohol kepada bukan Islam adalah dasar baharu di bawah Keluarga Malaysia, satu konsep yang diguna pakai oleh kerajaan persekutuan.
Lim berkata keputusan itu mungkin dibuat untuk membantu calon PAS yang bertanding dalam pilihan raya Melaka.
PAS sepatutnya berunding dengan MCA, MIC dan masyarakat Cina mempertimbangkan kerugian kewangan yang mungkin berlaku akibat keputusan mengejut itu, tambahnya.