Bernama
Oktober 15, 2021
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ini termasuk kerjasama antara parti itu dengan Pas menerusi Muafakat Nasional serta Bersatu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Isu agihan kerusi dan kerjasama antara parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan datang.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ini termasuk kerjasama antara parti itu dengan Pas menerusi Muafakat Nasional serta Bersatu.
Beliau berkata bagaimanapun, segala perbincangan bergantung kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan PRN itu.
"Kita menanti penuh debaran keputusan SPR Isnin ini. Apa jua keputusannya kita terima dengan hati terbuka," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Bangunan Dato Onn di sini malam ini.
Mesyuarat itu, yang berlangsung lebih tiga jam, dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.