Laporan Ketua Audit Negara 2020 mengesahkan status Kerajaan Gagal PN-BN, kata Razak

 


Panas! Laporan Ketua Audit Negara 2020 mengesahkan status Kerajaan Gagal PN-BN, kata Razak


Merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2020 mengenai penyata kewangan Kerajaan Persekutuan serta pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan persekutuan yang dibentangkan hari ini, jelas menunjukkan ketidakcekapan kerajaan dalam mengurus tadbir negara.

Dalam laporan tersebut, sebanyak RM 620.07 juta jumlah isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran. Paling mengejutkan adalah sejumlah RM 499.18 juta pembayaran tak teratur melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mana majlis tersebut diterajui oleh Perdana Menteri.

Selain itu kerugian wang awam sebanyak RM 104.79 juta adalah satu nilai yang cukup besar dalam keadaan negara yang ditekan dengan masalah ekonomi. Malah sebanyak RM 4.79 juta pembaziran melibatkan barang yang lewat terima dan tidak dipasang untuk Istana Budaya sesuatu yang amat dikesali.

Kebergantungan kerajaan membuat hutang baru untuk membayar hutang yang telah matang dengan nilai sebanyak RM 90.58 bilion bakal membawa masalah kepada negara. Liabiliti negara juga turut membimbangkan dengan nilai yang dilaporkan sebanyak RM 1.187 trilion.

Berdasarkan laporan ini, rakyat boleh melihat dengan jelas bahawa ia melengkapkan status “Kerajaan Gagal” yang dianggotai Perikatan Nasional dan Barisan Nasional (PN-BN)

Meskipun berbelanja dengan mewah, kes Covid-19 yang dicatatkan masih belum berada pada tahap yang melegakan dengan bilangan kematian yang tinggi.

Justeru Pemuda AMANAH menggesa kepada seluruh rakyat Malaysia membuka mata dan melihat betapa lemahnya kerajaan gabungan PN-BN hari ini dalam mengurus ekonomi dan dana rakyat.

RAZAK RIDZUAN
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH