Usaha bagi meningkatkan
mutu perkhidmatan dan kecekapan pengangkutan awam di Melaka tetap menjadi
agenda utama
Oleh MALAYSIA DATELINE / October
30, 2021
Usaha bagi meningkatkan
mutu perkhidmatan dan kecekapan pengangkutan awam di Melaka tetap menjadi
agenda utama bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.
Walaupun usaha ini
katanya telah terbantut ekoran pertukaran kerajaan namun ia membuktikan
komitmen tinggi kerajaan Pakatan Harapan negeri untuk meningkatkan mutu
penerbangan dan pengangkutan awam di Melaka.
Adun Bukit Katil itu
juga berkata, antara yang menjadi fokus utama ketika menerajui Melaka selama 22
bulan ialah perkhidmatan bas awam.
Ini kerana katanya perkhidmatan
bas awam amat penting kepada rakyat yang berpendapatan rendah di mana kerajaan
PH negeri ketika itu telah melaksanakan projek perintis bas percuma Melaka (2
unit) untuk laluan utama Melaka Sentral-MITC.
“Kadar
anggaran penggunaan adalah 300,000 orang (Ogos 2018-Feb 2020) bersamaan 16,000
penumpang sebulan.
“Syarikat
bas negeri yang menanggung banyak hutang dan hanya 4 unit bas sahaja dapat
berfungsi setelah disusun semula.
“Hasilnya,
pada tahun 2019/2020, kerajaan PH berjaya meningkatkan bas berfungsi kepada 14
buah,” katanya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Melaka.
Sehubungan
itu, katanya kemudahan bukan sahaja tertumpu kepada pengangkutan darat, malah
kerajaan PH negeri juga berusaha meningkatkan mutu pengangkutan udara.
Misalnya kata beliau Lapangan
Terbang Antarabangsa Batu Berendam (LTAM) yang tahap penggunaannya sangat
rendah kerana gagal menarik minat syarikat penerbangan komersial, diberi
perhatian khusus.
“Di
bawah pentadbiran PH, kerajaan negeri telah berunding dengan syarikat-syarikat
penerbangan seperti AirAsia dan Malindo Air untuk membawa masuk laluan baharu.
“Tambahan
penerbangan baharu Melaka-Kota Bharu, Melaka-Langkawi juga laluan ke
Sabah/Sarawak dan antarabangsa telah dirunding dan diterokai,” ujarnya lagi.