SUARAM pertikai angka kematian dalam tahanan KDN

 


Pengarah Eksekutif SUARAM Sevan Doraisamy berkata, berdasarkan pemantauan, sekurang-kurangnya tujuh kematian berlaku dalam tahanan polis sehingga Ogos termasuk satu kes yang identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti.

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi manusia, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mempertikaikan angka kematian dalam tahanan yang dilaporkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin kerana didakwa “mengelirukan”.

Ia susulan jawapan lisan menteri itu kepada pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim pada 15 Sept di Parlimen yang berkata, terdapat enam kematian dalam lokap polis direkodkan bagi tahun ini sehingga Ogos.

Menurutnya, dari segi komposisi kaum, seramai dua orang berbangsa Melayu di Perak dan Johor, dua berbangsa Cina di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, satu berbangsa India di Melaka dan satu melibatkan warga asing di Sabah.

Pengarah Eksekutif SUARAM, Sevan Doraisamy berkata, berdasarkan pemantauan pihaknya, sekurang-kurangnya tujuh kematian berlaku dalam tahanan polis sehingga Ogos termasuk satu kes yang identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti.

“Ia membabitkan empat berbangsa Melayu, dua berbangsa India dan satu kes yang tidak dapat dikenal pasti identiti mangsa. Namun adalah membingungkan kami tentang bagaimana pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) merekodkan jumlah kematian di dalam tahanan.

“Jumlah yang diberikan KDN tidak melibatkan beberapa kematian yang jelas merupakan kematian dalam tahanan pihak polis,” katanya yang merujuk kematian Sivabalan Subramaniam dan Umar Faruq yang tidak dimasukkan dalam laporan kematian dalam tahanan.

Sementara itu, beliau turut mempertikaikan definisi kematian dalam tahanan yang digunakan oleh KDN.

“Mengapa kematian Sivabalan yang jelas meninggal dunia kurang satu jam selepas penahanannya di IPD Gombak serta Umar yang meninggal di dalam IPD Klang Selatan tidak dianggap sebagai kematian dalam tahanan?

“Adakah ini kerana pihak KDN menganggap kematian di dalam tahanan adalah sebagai kematian yang hanya berlaku di dalam lokap polis? Sekiranya ya, ia jelas bertentangan dengan definisi kematian dalam tahanan oleh pelbagai pihak,” katanya dalam kenyataan.

Pihaknya turut menggesa KDN supaya menggunakan piawaian antarabangsa untuk mendefinisikan kematian dalam tahanan.

“Ini amat jelas apabila ada kes kematian mengikut definisi itu tidak direkodkan.

“Ia bukan hanya satu tafsiran yang amat dangkal tetapi sebagai taktik untuk menunjukkan kematian dalam tahanan semakin berkurang sedangkan ada kematian tidak direkodkan kerana tidak berlaku dalam lokap polis,” katanya.