SAMAN ADALAH LANGKAH TERBAIK JIKA AKHBAR BAWA BERITA LONGKANG.RAKYAT DAH LIHAT NASIB UTUSAN YANG MENYEMBAH BUMI...

 


Saman Harakah: Mujahid hanya mahu nama dibersihkan, masih menanti permohonan maaf


Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof meluahkan kelegaannya apabila kes saman fitnah yang difailkannya terhadap lidah rasmi Pas iaitu Harakah, dan beberapa defendan lain di dalam Harakah, selesai dengan rundingan yang baik di luar mahkamah.

Katanya, beliau masih menanti permohonan maaf dari defendan pertama (wartawan Harakah, Aziz Muda) yang mengikut persetujuan bersama, akan mengemukakan permohonan maaf secara bertulis kepadanya di akhbar Harakah.

“Paling utama kita menanti Harakah mengeluarkan kenyataan rasmi di portal rasmi dan media cetak mereka untuk memohon kata maaf serta beberapa ‘point’ yang dipinda dan dipersetujui bersama,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebooknya sebentar tadi.

Mujahid yang juga bekas Menteri Agama memfailkan saman pada 12 Ogos tahun lalu, menamakan Aziz, Ketua Pengarang Harakah Wan Nordin Wan Yaacob, penerbit laman sesawang Harakahdaily serta akhbar Harakah iaitu Galeri Media Serbanika Sdn Bhd dan pencetak akhbar itu Percetakan Turbo (M) Sdn Bhd sebagai defendan.

Dalam penyataan tuntutannya, Mujahid mendakwa pada 7 Februari tahun lalu, Aziz, Wan Nordin dan Galeri Media telah menulis dan menerbitkan kenyataan memfitnah terhadapnya di Harakahdaily menerusi artikel bertajuk ‘Sajat: Mujahid dan K’jaan PH patut dipersalahkan’.

Defendan juga didakwa menerbitkan satu lagi kenyataan yang memfitnah beliau dalam akhbar Harakah bertarikh 10 hingga 13 Februari menerusi artikel ‘Keterlanjuran Sajat kesilapan Mujahid dan kerajaan PH’.

Mujahid selaku plaintif mendakwa kata-kata fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang yang tidak bertanggungjawab apabila membenarkan masyarakat, khususnya yang beragama Islam, terlibat dalam aktiviti ‘Lesbian Gay Bisexual Transeksual (LGBT)’ selain didakwa menjadi punca kepada tindakan Sajat memakai telekung serta berpakaian seperti wanita, sewaktu menunaikan umrah.

Sementara itu, dalam ulasan siaran langsung sebentar tadi, Mujahid menjelaskan bahawa pihaknya tidak mahu memanjangkan isu tersebut setelah Harakah bsrsetuju untuk mengeluarkan permohonan maaf.

Katanya, soal kos dan ringgit adalah terlalu kerdil jika dibandingkan dengan maruahnya yang tercemar kerana fitnah itu.

“Soal kos ringgit terlalu kerdil dibandingkan dengan maruah. Kalau penyelesaian ini maruah dapat diselamatkan dengan permohonan maaf dan menjelaskan sebenarnya, itu sudah cukup sebagai satu nikmat besar dan tidak lagi kita mahu memanjangkan perkara yang sudah dicapai.

“Tujuan saya hanya untuk membersihkan nama. Saya tidak berminat pergi jauh lebih sekadar dari tujuan asal. Saya harap tiada lagi yang ungkit kenapa tak teruskan perbicaraan, mahupun ungkit balik kepada Harakah. Hal ini sudah selesai,” ujarnya.

No comments: