Kerajaan Keluarga Malaysia masih belum stabil, Kabinet bersaiz mega mungkin berulang, kata Pemuda AMANAH

 


Kerajaan Keluarga Malaysia masih belum stabil, Kabinet bersaiz mega mungkin berulang, kata Pemuda AMANAH

August 24, 2021 

Meskipun calon Perdana Menteri Malaysia ke-9 selesai mengangkat sumpah, Dato’ Seri Ismail Sabri dilihat masih belum dapat mencari penyelesaian dalam memastikan kerajaan yang stabil dicapai.

Dalam tempoh tidak sampai 24 jam beliau mengangkat sumpah, sudah kedengaran pelbagai permintaan dan perselisihan sesama mereka dalam menentukan bentuk kerajaan yang ingin dibawa.

Tidak kurang juga kenyataan secara terang-terangan mahu nama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikekalkan bagi memperlihatkan dominasi parti PN dalam kerajaan.

Di samping itu perebutan secara terbuka untuk mndapatkan jawatan Timbalan Perdana Menteri juga disuarakan parti yang berada dalam kerajaan sekarang terutamanya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Hal ini menunjukkan kerajaan sekarang masih bergelut untuk memenuhi kehendak parti masing-masing melebihi kepentingan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi negara.

Maka tidak hairanlah mengapa Dato’ Seri Ismail Sabri tidak berminat untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bersama pembangkang meskipun saranan dari istana supaya membawa polisi ‘yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua”.

Pemuda AMANAH Nasional melahirkan rasa bimbang sekiranya jalan mudah yang diambil oleh Dato’ Seri Ismail Sabri untuk memenuhi kehendak semua parti yang mengangotai kerajaan dengan membentuk saiz kabinet yang besar. Ini sekali lagi bertentangan dengan hasrat rakyat agar perbelanjaan membiayai kabinet dapat dikurangkan dalam kerajaan baru ini.

Justeru Pemuda AMANAH Nasional ingin mengingatkan Dato’ Seri Ismail Sabri agar tidak mengulangi kesilapan dan kegagalan yang sama seperti kerajaan sebelum ini semata-mata memenuhi tuntutan pihak tertentu dalam gabungan.

MUHAMMMAD TAQIUDDIN CHEMAN
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional

24 Ogos 2021
15 Muharam 1443H