POSTED BY AMIR WRLR
Kelemahan pentadbiran Perdana
Menteri Tan Sri Mahiaddin Yassin semakin terserlah apabila pelabur-pelabur
antarabangsa mula resah dan tidak senang melihat undang-undang dan peraturan
menangani Covid 19 Malaysia berubah-ubah.
Menyifatkan perkara itu tidak pernah berlaku dalam sejarah negara, Bendahari Agung KEADILAN Lee Chean Chung berkata, aduan Dewan Perniagaan Jerman dan Jepun di Malaysia tentang Prosedur Operasi Standard (S.O.P) tersebut perlu dipandang serius oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum menjejaskan dengan teruknya reputasi negara di peringkat global.
"Aduan sebegini serius tidak pernah berlaku sebelum ini. Namun Kerajaan PN masih tidak menganggapnya serius, sebaliknya menafikan kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik dan terus menuduh terdapat pihak-pihak tertentu sengaja menjatuhkan imej Kerajaan
"Slogan propaganda seperti itu mungkin dapat menyakinkan para penyokong tegar Kerajaan PN, tetapi data ekonomi, laporan tinjaun dan pendapatan pelabur merupakan petunjuk yang paling sesuai untuk mencerminkan status dan perkembangan ekonomi semasa negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
ADUN Semambu itu mengaitkan prestasi ekonomi negara yang buruk kepada indeks Nikkei Asia yang mana Malaysia ditempatkan di tangga ke-114 di antara 120 negara manakala ‘The Economist’ dalam mengukur indeks negara kembali normal selepas pandemik Covid-19, meletakkan Malaysia di tangga yang terakhir di antara 50 negara.
Hal itu, katanya sama sekali berbeza ketimbang kenyataan Menteri Kanan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali pada Jun lalu kononnya prospek pertumbuhan ekonomi negara cerah dan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia semakin meningkat.
"Hakikatnya, pada 9 Julai, Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia McFeeters mengkritik Kerajaan PN kerana mengecewakan pelabur-pelabur AS yang merupakan rakan perdagangan ketiga besar Malaysia.
"Beliau juga menyatakan bahawa undang-undang perdangangan yang tidak menentu menyebabkan pelabur hilang minat dan ia telah berlaku sejak daripada dahulu.
"Saya berpendapat masalah struktur telah wujud selama beberapa dekad ini. Perlu dilakukan perubahan dan reformasi yang drastik waktu pandemik ini agar ekonomi negara lebih fleksibel dan lebih berdaya saing.
"Akan tetapi, apa yang menyedihkan ialah Kerajaan PN hanya sibuk meminta pengusaha perniagaan memohon kebenaran beroperasi dengan SOP dan pengkategorian yang berubah-ubah," katanya.
Menurut Chean Chung lagi, sebelum pandemik pelabur-pelabur asing akan melihat kepada situasi politik, persekitaran sosial dan pembinaan infrastruktur sebagai faktor-faktor penting menentukan pelaburan.
Namun jelasnya, dalam era pasca Covid-19, tahap pengurusan pandemik dan kemampuan tindak balas Kerajaan akan turut menjadi petunjuk atau faktor yang sangat penting bagi pelabur
"Jelas berdasarkan beberapa perkara utama tersebut, prestasi kerajaan berada di tahap yang tidak memuaskan. Jika masalah struktur tidak diselesaikan, saya khuatir Malaysia tidak akan menjadi pilihan utama untuk pelaburan asing pada masa akan datang.
"Setelah pengisytiharan Darurat pada bulan Januari, Kerajaan PN yang berjanji untuk fokus memerangi Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi tidak direalisasi.
"Sebaliknya situasi Covid-19 semakin teruk dan mereka hanya sibuk berpolitik. Dalam situasi sebegini, meskipun keseluruhan Menteri Kabinet dinaikkan pangkat menjadi Menteri Kanan, ia tidak akan membawa sebarang kebaikan terhadap kemajuan dan progres negara," katanya lagi.