MEMPERLEKEHKAN KIBAR BENDERA PUTIH TANDA HATI TELAH HITAM

 

Mengibar bendera putih sebagai tanda seseorang itu memerlukan bantuan akibat kesusahan hidup disebabkan Covid19 yang melanda negara sekarang seolah-olah sudah menjadi suatu fenomena.

Sudah ramai yang mengibarkannya dan serentak dengan itu, bantuan yang diperlukan pun tiba dengan segera.

Mengibar bendera putih atau apa-apa saja yang berwarna putih di luar rumah sebagai isyarat mereka sedang dalam kesusahan atau putus makanan dan memerlukan bantuan adalah idea yang cukup bernas dan berkesan, walaupun agak simple.

Sehingga ini bukan saja sudah ramai yang telah mendapat manfaat atau bantuan daripada tindakan mengibarkan bendera putih, bahkan beberapa syarikat besar dan pasaraya ternama juga turut tampil memberi sokongan dengan menyediakan bantuan makanan yang diperlukan.

Sebilangan besar wakil rakyat, baik Ahli Parlimen dan Adun juga menyokong penuh idea mengibar bendera putih ini dengan meminta sesiapa saja yang ternampaknya agar segera memaklumkan kepada pusat khidmat atau pejabat mereka agar bakul makanan dapat dihantar dengan segera.

Selebihnya, kibaran bendera putih ini juga dapat merangsang sesiapa saja di kawasan kejiranan masing-masing untuk lebih peka dan ambil tahu kesusahan di persekitaran mereka.

Selain mereka boleh memaklumkannya kepada pusat khidmat wakil rakyat yang berdekatan kiranya ternampak ada bendera putih dikibarkan, seseorang itu juga boleh menghulurkan bantuan peribadi secara langsung jika mereka berkemampuan berbuat demikian.

Pokoknya, kalau tiada bendera putih dikibarkan, susah untuk mengetahui kesusahan yang dialami orang lain.

Di musim pandemik ini, selain wakil rakyat, banyak NGO, hampir semua masjid, surau tertentu dan rumah ibadat bukan Islam juga tidak lupa memainkan peranan mereka menghulurkan bantuan kepada rakyat yang dalam kesusahan dan tidak cukup bekalan makanan.

Makanya, dengan bendera putih dikibarkan sebagai isyarat bantuan diperlukan, mudah-mudahan tiada yang kelaparan atau mati tak makan dapat segera dibantu.


Harus kita sedar, bukan semua orang tahu di mana untuk meminta bantuan ketika mereka dalam kedaaan susah dan tak cukup makan.


Sesetengah masyarakat kita pula masih tebal perasaan malu untuk meminta-minta atau pergi ke pejabat wakil rakyat memaklumkan mereka perlukan bantuan makanan dan sedang dalam kesusahan.


Mereka ini lebih sanggup menggadai barang kemas atau menjual perabot serta hiasan di rumah dan berhutang bagi memperolehi wang untuk membeli makanan.


Sejak pandemik ini melanda lebih setahun yang lalu, bukan saja ramai di antara kita yang jadi susah, hilang pendapatan dan tiada pendapatan, malah jumlah golongan B40 juga turut telah bertambah.


Sebab itu, semalam Anwar Ibrahim tidak lagi menyebut golongan miskin di negara ini sebagai B40 iaitu mewakili 40 peratus penduduk negara seperti yang biasa disebut banyak pihak sejak sekian lama, tetapi mengubahnya kepada B60.


Hakikat yang mungkin kita terlepas pandang, dengan sebahagian besar daripada golongan pertengahan yang mewakili 40 peratus dalam masyarakat atau M40 sudah jadi B40 akibat kejatuhan ekonomi, kemerosotan pelanggan, pengurangan pendapatan dan tutup perniagaan, peratusan golongan tersebut sebenarnya sudah pun mengecil.


Daripada 40 peratus ia hanya tinggal mungkin 20 peratus saja di mana 20 peratus lagi telah berubah menjadi B40 yang menjadikan kedudukan terkini golongan miskin ialah 60 peratus atau dikenali sebagai B60.


Apa yang disuarakan Anwar itu adalah sesuatu yang realistik di waktu yang berlarutan sejak lebih setahun dan kerana itu, beliau menuntut bantuan tunai harus dipertingkatkan lagi kepada golongan B60 agar mereka tidak terperangkap ke jurang kemiskinan yang menyakitkan.


Lantaran itu, melalui kaedah mengibar bendera putih ini ia mampu menyelesaikan masalah mereka yang malu atau tidak tahu ke mana untuk meminta bantuan.


Dengan hanya mengibarkan bendera putih, kain putih, baju T putih atau apa-apa saja yang berwarna putih di luar, orang yang lalu-lalang atau jiran persekitaran dengan sendirinya akan tahu ada yang sedang memerlukan bantuan.


Bukankah ia kaedah yang cukup berkesan untuk membantu mereka yang memerlukan?


Dengan itu, tanpa keraguan bahawa mereka yang menolak, memperlekeh dan mempersenda idea mengibar bendera putih termasuk dengan mengatakan lebih baik mengangkat tangan berdoa kepada Tuhan daripada mengangkat bendera putih yang ditafsirkan sebagai lambang kegagalan atau mengaku kalah, juga mendakwa ini adalah agenda pembangkang dan macam-macam lagi, semuanya adalah golongan yant hatinya telah hitam.


Mereka tidak melihat bahawa apabila ada kesusahan atau orang memerlukan bantuan, ia bukanlah semata-mata ujian kepada golongan terbabit, tetapi ia juga adalah ujian kepada mereka yang kaya dan berkemampuan.


Jangan sesekali menolak, mempersenda dan memperlekeh idea mereka yang sedang berusaha mahu menolong dan membantu, sedangkan mereka sendiri tiada usaha lebih baik daripadanya.


Dalam memberi bantuan atau menolong orang dalam kesusahan juga, agenda politik mestilah diketepikan dan tidak seharusnya dijadikan keutamaan.


Seterusnya, dengan mengibar bendera putih bukanlah bermakna tidak berdoa kepada Tuhan, tetapi ia sebahagian daripada usaha atau ikhtiar yang sememangnya dituntut untuk sesiapa pun juga melakukannya.


Kalau hanya berdoa semata-mata dan tidak membawa tin milo ke merata-rata tempat ceramah sambil menjerit “derma jihad”, “derma jihad”, “derma jihad”, tin tersebut tidak berisi buat selama-lamanya.


Begitu juga, jika waktu pilihanraya tidak dikibarkan bendera parti, sebaliknya hanya dengan berdoa saja, tentulah nama calon dan parti diwakili tidak dikenali oleh pengundi.


Maknanya, mengibar bendera putih adalah salah satu usaha untuk meminta pertolongan dan memudahkan pihak yang mahu memberi pertolongan menyampaikan bantuan.


Hanya golongan berhati hitam saja yang tergamak menolak, memperlekeh dan mempersenda idea kibar bendera putih yang sebenarnya bermatlamat suci murni, lebih buruk lagi imej yang kelihatan jika yang mempertikaikan itu adalah golongan yang sentiasa mengaku berjuang atas nama agama, syurga dan ketuhanan. 

(ShahbudinHusin 01/07/2021)


No comments: