KUALA LUMPUR: Kerajaan interim dilihat sebagai satu kaedah terbaik untuk
menyelesaikan kemelut politik yang berlaku susulan penarikan diri UMNO daripada
menyokong perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Mujahid Yusof Rawa menerusi
akaun Facebooknya mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini dilihat telah
jatuh.
"Pilihan UMNO yang diumumkan awal pagi tadi, merintis jalan
kepada kejatuhan kerajaan PN tetapi alternatif sebuah kerajaan kuat dan stabil
seperti titah Yang di-Pertuan Agong masih belum kelihatan.
"PH kekal blok terbesar 89 Ahli Parlimen tetapi tidak cukup
bentuk kerajaan, baki 'strong and formidable majority' masih ada di
tangan blok Barisan Nasional, Sabah, Sarawak manakala fraksi Tun M (Tun
Mahathir) mungkin menanti peluang.
"Jatuhnya PN secara teknikal adalah jatuhnya kegagalan,
keangkuhan dan lebih utama satu pengkhianatan dan PH kekal konsisten mahukan
mandat rakyat dikembalikan, UMNO tarik diri dari PN dan jelas dari kenyataan
Presidennya mahukan PRU setelah kelompok imuniti tercapai," katanya.
Terdahulu, Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO
malam tadi memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan
perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin berkuat kuasa serta merta.
Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan
jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik
untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan
bantuan kepada rakyat.
MKT UMNO turut menegaskan sebarang usaha untuk mencalonkan Datuk
Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri akan ditolak sepenuhnya oleh parti
itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, berkata
penolakan itu termasuklah kerjasama parti itu dengan DAP.
Mengulas lanjut, Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu juga mempersoalkan sama ada UMNO menarik
diri daripada kerajaan adalah disebabkan kegagalan sendiri.
"Hairan juga, adakah UMNO mengatakan pada diri sendiri
kerana Timbalan Perdana Menteri UMNO dan Menteri Kanan UMNO baru sahaja dilantik
kelmarin.
"Menteri Vaksin, Menteri Kesihatan, Menteri Pertahanan,
Sukan, Perpaduan, Pengajian Tinggi, Menteri Luar dan ramai Timbalan Menteri
adalah dari UMNO.
"Apakah yang gagal adalah UMNO dan sebab itu dia menarik
diri dari kerajaannya sendiri! Tegasnya.
Tambah Mujahid, sekali lagi kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah
Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diperlukan untuk meralisasikan kerajaan
yang kukuh dan stabil bagi menangani COVID-19 dan ekonomi yang semakin buruk.
"Rakyat menderita, ekonomi dalam bahaya, COVID-19 terus
meningkat. Amat malang bagi negara ini terpaksa melalui musibah ini.
"Tapi sekurangnya satu kegagalan dan pengkhianatan telah diakhiri," jelasnya..