Kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara teknikal telah tumbang
malam tadi apabila Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk menarik kembali
sokongan parti itu yang diberikan sejak 1 Mac 2020 lalu.
Pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz bari berkata, dalam situasi semasa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tiada pilihan selain meletakkan jawatan pada kadar segera bagi memudahkan Yang di-Pertuan Agong melantik kerajaan baharu.
"Muhyiddin perlu letak jawatan. Dia tidak lagi mendapat sokongan (majoriti Ahli Parlimen)
"Buat masa sekarang menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memanggil Muhyiddin dan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan kepastian dan membuat keputusan berdasarkan situasi," kata Dr Aziz dipetik Malay Mail.
Bagaimanapun, Ketua Pembangkang DUN Perak itu tidak bersetuju dengan cadangan sesetengah pihak yang ingin mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Perdana Menteri Interim sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dilangsungkan.
Menurut Dr Aziz, kerajaan interim tidak ada dalam konsep pemerintahan Malaysia dan lebih baik Agong memanggil Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan sekiranya beliau mempunyai majoriti sokongan dari Ahli-ahli Parlimen.
"Kita masih ada 21 bulan untuk melengkapkan penggal 5 tahun. Kerajaan yang lengkap (bukan interim) perlu dibentuk.
"Kerajaan interim tidak akan berkesan (dalam situasi di Malaysia). Kamu tidak boleh dengan mudah lantik PM. Hanya yang ada majoriti sahaja boleh jadi PM
"Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu diberi peluang untuk menunjukkan sokongan yang beliau ada.
"Sekarang Pakatan Harapan (PH) ada 89 Ahli Parlimen yang menyokong Anwar. Tidak lah susah sangat untuk mendapatkan lagi 22 Ahli Parlimen
"Siapa tahu, sesetengah Ahli Parlimen Umno atau Pas dan GPS akan jadi Bebas dan menjadi 'rakan PH berdasarkan situasi politik semasa'," katanya lagi.
Malam tadi, Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat secara dalam talian sehingga pukul 12.30 membuat keputusan untuk menarik kembali sokongan kepada kerajaan PN.
Dalam kenyataannya, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi membayangkan perlunya dilantik PM baharu untuk jangka masa terhad bagi menangani masalah Covid 19 sehingga selesai dan kemudian Parlimen dibubarkan untuk diadakan PRU 15.