Serapkan doktor kontrak ke pekhidmatan awam – Pemuda PH
Pemuda Pakatan Harapan (PH) mengkritik layanan kerajaan terhadap doktor berstatus kontrak yang tidak disahkan sebagai kakitangan tetap hospital kerajaan meskipun telah 5 tahun berkhidmat.
Menurut Ketua Pemuda PH, Shazni Munir Mohd Ithnin, taraf kontak itu menyebabkan para doktor berkenaan tidak menikmati skim di bawah perkhidmatan awam meskipun mempunyai tanggungawab yang sama berat dengan doktor tetap.
“Di kala peperangan melawan Covid 19 masih berlarutan, ada sekelompok barisan hadapan yang dikerahkan bermati-matian dalam keadaan masa depan kerjaya mereka masih lagi menjadi tanda tanya.
“Kami menerima rungutan dan juga aduan daripada pegawai perubatan kontrak berhubung nasib mereka yang menjadi tanda tanya akibat pelaksanaan sistem kontrak sejak tahun 2017. Ditambah pula beban kerja yang kritikal pada era pandemik ini, seharusnya jasa pengorbanan mereka dibalas dengan setimpal.
“Nasib mereka tidak seharusnya dibiarkan ‘tergantung tidak bertali’ setelah hampir 5 tahun mengorbankan tenaga dan masa untuk negara. Pegawai perubatan kontrak juga tidak mendapat pelbagai keistimewaan seperti pegawai perubatan tetap yang lain di mana mereka tidak mempunyai peluang tajaan untuk melanjutkan pelajaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ketua Pemuda Amanah itu lagi, layanan yang tidak adil seperti itu dikhuatiri akan menyebabkan para pegawai perubatan berkenaan mungkin mencari alternatif yang lebih baik, termasuk berkhidmat di luar negara yang menawarkan ganjaran lebih lumayan.
“Dengan keadaan sistem kesihatan negara yang hampir ke tahap kritikal, kita tidak mahu kehilangan lebih ramai anak tempatan untuk keluar bekerja di luar negara setelah tamatnya kontrak mereka. Tenaga kerja yang ada ini harus diserap secara tetap dengan kadar segera.
“Justeru itu, kami ingin menuntut penjelasan dan justifikasi daripada pihak kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga Jabatan Perkhidmatan Awam berkenaan isu masa depan pegawai-pegawai perubatan kontrak ini.
“Cadangan kami, wujudkan lebih banyak peluang dan ruang untuk menyerap mereka sebagai pegawai tetap dan sediakan insentif tambahan sebagai penghargaan kepada semua barisan hadapan dalam sistem kesihatan negara,” katanya lagi.