SEBAGAI KERAJAAN, MAHIADDIN DAN MENTERI2 PN SEPATUTNYA PALING KE DEPAN TUNJUK KESETIAAN KEPADA AGONG

 

Sikap berlengah dan berdalih pimpinan dalam kerajaan PN terhadap titah Agong dan Majlis Raja-Raja berkaitan keperluan Parlimen dibenarkan bersidang dengan segera dan secepat mungkin adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

Ia bukan saja memperlihatkan PN sebagai kerajaan cuba derhaka kepada Agong dan Raja-Raja, bahkan menunjukkan mereka tidak menjunjung teras kedua dalam Perlembagaan iaitu “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara”.

Lagi pula, titah Agong dengan persetujuan Raja-Raja Melayu setelah mengadakan perbincangan khas semalam berkaitan pembukaan Parlimen bukanlah sesuatu yang sukar untuk difahami laras bahasanya.

Baik dalam kenyataan media Istana Negara atau Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, ayat dan bahasa yang digunakan cukup jelas iaitu Parlimen perlu dibenarkan bersidang dengan segera dan secepat mungkin.

Kalau yang namanya mee segera kerana hanya memerlukan masa dua minit untuk disediakan, manakala jika doktor berpesan agar seseorang itu perlu dihantar ke IJN dengan segera, ia dengan jelas tentulah bermaksud serta-merta tanpa berlengah lagi, waima pada tengah malam sekali pun.

Makanya, tidak munasabah sama sekali untuk pimpinan dalam kerajaan mempersoalkan titah diraja tersebut seperti hujah Takiyuddin Hassan kononnya ia tidak perlu disegerakan kerana Agong dan Raja-Raja tidak menyebut pun secara spesifik bulan berapa Parlimen perlu dibuka untuk bersidang.

Begitu juga dengan kenyataan media Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin yang kesimpulannya seperti hanya mengambil maklum saja titah Agong dan Raja-Raja itu.

Mengapa Perdana Menteri dan kerajaan tidak mengambil sikap proaktif berteraskan kesetiaan kepada Agong dalam mematuhi titah tersebut?

Mengapa masih cuba berlengah, berdalih dan bermain dengan masa dalam mematuhi titah Agong itu?

Apa yang takut sangat untuk membenarkan Parlimen bersidang?

Tidakkah lagi banyak berhelah dan berdalih untuk membuka Parlimen, ia lagi menunjukkan Mahiaddin memang tiada sokongan majoriti yang dimilikinya?

Tambahan lagi, dalam titah Agong semalam, selain disebutkan tentang perlunya sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil, ditekankan juga keperluan Parlimen bersidang itu antaranya adalah bagi membincangkan Ordinan Darurat.

Ini dengan sendirinya bermakna Parlimen mesti dibenarkan bersidang sebelum tamat tempoh darurat pada 1 Ogos depan yang mana Agong serta Raja-Raja menyatakan tiada keperluan ia disambung lagi tempohnya selepas itu.

Untuk apa lagi membincangkan Ordinan Darurat jika Parlimen hanya dibuka pada bulan September atau Oktober di mana tempoh darurat sudah pun berakhir ketika itu?

Yang paling penting, sesuai dengan sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara kita, terbentuknya kerajaan dan termenjadinya Mahiddin sebagai Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin lain dalam PN sebagai menteri adalah dengan perkenan oleh Agong itu sendiri.

Oleh itu, adalah tidak manis, bahkan tidak masuk akal kiranya mereka ingin mengambil sikap berlaga angin dengan Agong yang melantik mereka.

Kalau pun ingin berlaga angin, Perdana Menteri dan menteri-menteri dalam kerajaan sepatutnya menjadi kelompok terakhir sekali berbuat demikian.

Perdana Menteri dan menteri-menteri harus menjadi barisan paling ke depan dalam mempertahankan Agong dan Raja-Raja serta menunjukkan taat setia yang boleh diteladani oleh rakyat jelata.

Tetapi, dengan menjadi yang pertama enggan patuh dan menunjukkan sikap derhaka kepada Agong, ia adalah contoh yang tidak baik ditunjukkan oleh kerajaan kepada rakyat.

Ia menjadikan rakyat tambah menjauhkan diri serta merasakan tidak keperluan lagi untuk mereka terus bersama dengan kerajaan. 


(ShahbudinHusin 17/06/2021)