Jadi, bilakah Parlimen akan bersidang?

 

Israr Khalid
Jadi, bilakah Parlimen akan bersidang?
Tidak kira bila ia akan dibuka semula, sidang Dewan Rakyat akan datang diharap akan berlangsung dengan lebih matang, telus dan fokus untuk membincangkan solusi kepada segala permasalahan negara ketika ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sesi pertemuan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan para pemimpin politik dan Raja-Raja Melayu telah pun dirumuskan.
Hasilnya, Istana Negara memperkenankan supaya sidang Parlimen dibuka semula.
Namun persoalannya, bila?
Menurut Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIM) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, kini tertakluk kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menentukan tarikhnya.
Ia selaras peruntukan dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Kata Nik Ahmad Kamal, walaupun Seksyen 14 (1)(b) jelas menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil dan membubarkan Parlimen pada satu tarikh yang baginda rasakan sesuai, ia juga atas nasihat Perdana Menteri selaku ketua kerajaan.
“Kalau kita sorot balik pada 24 Feb 2021, Istana Negara juga keluarkan satu kenyataan oleh Yang di-Pertuan Agong menyarankan supaya Parlimen dibuka, dengan syarat ia dipersetujui oleh Perdana Menteri sebagai ‘Leader of the House’.
“Kenyataan Istana Negara hari ini (16 Jun) jelas bahawa ia diulang dan ditekankan sekali lagi. Dan kalau kita rujuk pada peraturan sidang Parlimen sebelum darurat, maka amalan yang digunakan ialah ‘Leader of the House’ iaitu Perdana Menteri akan memanggil sidang Parlimen.
“Jadi, dalam konteks ini, Ordinan Darurat Seksyen 14 (1)(b) itu menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh memanggil sidang Parlimen dengan nasihat Perdana Menteri,” jelasnya.
Tidak kira bila ia akan dibuka semula, sidang Dewan Rakyat akan datang diharap akan berlangsung dengan lebih matang, telus dan fokus untuk membincangkan solusi kepada segala permasalahan negara ketika ini.
Felo Penyelidik Ilham Centre Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid menegaskan, dalam konteks ini kerajaan memainkan peranan untuk mengawal agenda perbahasan supaya ia terarah kepada matlamat bersama.
“Untuk kita memastikan apa sahaja ordinan yang telah dibentangkan semasa darurat itu berjaya dibahaskan, dan lebih penting lagi adalah seperti yang disarankan oleh Majlis Raja-Raja, supaya berlakunya ketelusan dalam pentadbiran kerajaan, ini adalah tanggungjawab semua.
“Harapan saya kepada rakyat supaya kita terus memberikan tekanan semampu boleh mengikut lunas undang-undang agar demokrasi berjaya dipraktikkan dan Parlimen itu menjadi tempat di mana suara kita boleh didengar,” jelasnya.
Tonton sesi penuh bual bicara bersama Nik Ahmad Kamal dan Hamidin dalam Agenda AWANI bersama hos, Dzulfitri Yusop, di sini.

No comments: