Muhyiddin bukan lagi Perdana Menteri yang rasmi

 


Terkini! Muhyiddin bukan lagi Perdana Menteri yang rasmi


A.KADIR YASIN


Saya pernah menulis cerita seakan-akan ini lama dulu mengenai seorang pemimpin politik Umno. Dia adalah antara pemimpin muda Umno ketika itu yang cukup efisyen dan kreatif tetapi terlibat dengan beberapa kontroversi yang sepatutnya tidak dilakukan oleh seorang pemimpin Melayu-Islam.

Oleh sebab saya menulis dalam bahasa Inggeris maka saya menggelarnya “accidental politician” – seorang ahli politik secara kebetulan.

Kalau dia merancang menjadi pemimpin politik, tentulah dia tidak melakukan perbuatan-perbuatan cela sebaliknya menjaga tingkat laku agar sesuai dengan kedudukannya yang tinggi. Akhirnya dia disingkirkan dan gagal memulihkan kerjaya politiknya walaupun beberapa kali mencuba.

Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang ini pun nampaknya daripada jenis yang sama. Kalau dia betul-betul merancang kerana dia bercita-cita tinggi hendak menjadi pemimpin nombor satu, dia tentulah telah mengambil tindakan menyelesaikan masalah berkaitan namanya.

Tidak ada masalah menukar nama supaya lebih sedap atau glamor kerana ia boleh dilakukan dengan sah dan mudah. Dia hanya perlu pergi ke Pejabat Pendaftaran dengan Surat Sumpah (SD) yang disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah untuk merasmikan pertukaran atau pembetulan namanya.

Banyak orang yang sezaman dengan saya, maksudnya sezaman juga dengan Perdana Menteri, berbuat demikian kerana masa itu nama kanak-kanak kerap disalah eja, mempunyai lebih daripada satu nama atau kerana kehilangan “Surat Beranak” – Sijil Kelahiran.

Saya pun ketika sudah bekerja membuat SD bagi menyeragamkan nama saya dalam Sijil Kelahiran dengan nama dalam Kad Pengenalan (sekarang MyKad) kerana berlaku sedikit perbezaan ejaan.

No photo description available.

Mahiaddin Md Yasin pun boleh lakukan hal yang sama kalau dia berasa nama yang diberikan oleh ibu bapanya tidak sedap atau dia mahukan nama, yang pada anggapannya, lebih glamor seperti Muhyiddin Mohd Yassin.

Akhirnya kebanyakan orang kenal dia dengan nama Muhyiddin Mohd Yassin sehinggalah seorang pengedar dadah mendedahkan di Mahkamah yang nama sebenar Muhyiddin bukan Muhyiddin tetapi Mahiaddin. Akibat Mahiaddin mahu nama glamor dan tidak guna nama sebenar dalam urusan rasmi maka lelaki Sabah bernama Awang Sari Lasikan dibebaskan.

Sekarang dengan surat pekeliling Ketua Setiausaha Sulitnya sendiri, atas nasihat Jabatan Peguam Negara, sahlah yang nama Perdana Menteri Malaysia adalah Mahiaddin bin Md Yasin atau Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Haji Md Yasin. Selamat datang Mahiaddin. Selamat tinggal Muhyiddin.