Rakyat tidak yakin Pelan Pemulihan Muhyiddin
Pengumuman Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai Pelan Pemulihan negara ternyata gagal meyakinkan rakyat.
Menurut mantan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, strategi itu malah dianggap ‘Pelan Kekeliruan’ oleh sesetengah rakyat memandangkan PM tidak bercakap soal mempercepatkan suntikan vaksin.
“Pelan Pemulihan yang diumumkan menyenaraikan 3 kriteria untuk peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu jumlah kes harian, kapasiti Unit Rawatan Rapi (ICU) dan peratusan rakyat yang diberi vaksin.
“Sebenarnya, faktor penentuan tunggal adalah vaksin. Ini kerana apabila peratusan rakyat diberikan vaksin meningkat maka jumlah kes baru akan menurun dan bilangan pesakit yang memerlukan rawatan di ICU juga menurun!
“Pelan pemulihan yang diumumkan oleh PM tidak memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan berupaya mengawal pandemik. Malah Pelan tersebut menunjukkan kekeliruan dan gagal memberi tumpuan kepada isu kritikal, iaitu vaksin.
“Strategi pemulihan seharusnya fokus mempertingkatkan vaksinasi melebihi 300,000 – 500,000 dos setiap hari dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi Ahli Parlimen Gopeng itu, Pelan Pemulihan seharusnya berlegar sekitar mendapatkan 80% imuniti kelompok dalam beberapa bulan akan datang
Sebaliknya, perkara yang dinyatakan Muhyiddin adalah isu-isu sampingan yang boleh dilakukan selepas imuniti kelompok terhasil
“Pelan Pemulihan harus fokus usaha mendapatkan vaksin yang mencukupi menjelang akhir Julai 2021
“Untuk suntikan vaksin lebih cepat, libatkan doktor swasta dan klinik kesihatan kecil
“Juga mudahkan proses pendaftaran seperti pendaftaran secara automatik untuk rakyat yang layak dan vaksin diberi secara walk-in,” katanya.
Dr Lee juga menekankan agar 13.8 juta rakyat atau 42% populasi penduduk yang telah mendaftar memperolehi vaksin menjelang akhir Julai 2021. Hal itu boleh melonggarkan PKP menjelang Ogos 2021.
Sekiranya gagal, kata beliau, maka rakyat akan kerugian lebih besar apabila sebahagian sektor ekonomi terus ditutup.
“PKP yang ketat, walaupun berkesan, membawa impak yang besar terhadap ekonomi dan PKP 3.0 telah membawa kerugian ekonomi RM 1 bilion setiap hari.
“Kerugian RM 1 bilion sehari ini bukan ditanggung setara oleh semua rakyat. Malah ada industri-industri yang terus beroperasi dan untung berbilion-bilion sepanjang PKP dan ada pula rakyat biasa yang merengkuk kelaparan,” katanya lagi.
Semalam, dalam perutusannya, PM Muhyiddin membicarakan mengenai Pelan Pemulihan negara pasca pandemik.
Namun perutusan itu dikritik warga maya kerana tidak menumpukan strategi bagaimana mengakhiri pandemik sebelum pemulihan sektor ekonomi dan soisal boleh dilaksanakan.