KENYATAAN MEDIA
13 Jun 2021
Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Takiyuddin Hasan mengenai
Jemaah Menteri yang akan menasihati KDYMM Tuanku Yang di-Pertuan Agong samada
darurat perlu dilanjutkan atau tidak sebagai reaksi terhadap kenyataan Ketua
Pengarah Kementerian Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah.
Sedia maklum bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan peranan
atau tugas menasihati Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan kepada Jemaah Menteri
sesuai Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan yakni KDYMM Yang di-Pertuan Agong
bertindak atas nasihat.
Pada 12 Jan 2021 Perdana Menteri mengumumkan darurat
berkuatkuasa di negara kita. Hal ini setelah KDYMM Yang di-Pertuan bersetuju
dengan nasihat Jemaah Menteri yang disampaikan oleh Perdana Menteri dan sesuai
Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan telah diisytiharkan Proklamasi
Darurat. Seterusnya pada 14 Jan 2021 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021
dibuat dan berkuatkuasa.
Berdasarkan Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021
ini diperuntukkan penubuhan jawatankuasa Khas Bebas Darurat. Dengan penubuhan
ini kerajaan telah membuat pengecualian untuk Jawatankuasa ini menasihati Yang
di-Pertuan Agong mengenai darurat berbanding dalam keadaan biasa peranan
menasihati ini adalah peranan Jemaah Menteri. Jawatankuasa ini memikul
tanggungjawab yang sangat jelas dan spesifik iaitulah “menasihati Yang
di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat atau penamatannya”.
Sehingga sekarang Jawatankuasa Khas Bebas Darurat ini masih ujud dan berfungsi
menjalankan tugas dengan matlamat akhirnya mempersembahkan laporan kepada KDYMM
Yang di-Pertuan Agong.
Sudah tentulah kenyataan Menteri Takiyuddin ini amat
mengelirukan sekaligus menimbulkan beberapa persoalan:
• Apakah fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat untuk menasihati
KDYMM Yang di-Pertuan Agong tentang tarikh darurat ditamat atau disambung kini
diambilalih oleh Jemaah Menteri?
• Apakah ini bermaksud ketika darurat berjalan di bawah kuasa
Ordinan Darurat 2021 sekalipun, kuasa Jemaah Menteri menasihati KDYMM Yang di-Pertuan
Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan dianggap terpakai termasuk dalam
perkara menamatkan atau melanjutkan tempoh darurat?
• Jika itu benar apa keperluan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat
ini diujudkan?
Saifuddin Nasution Ismail
Setiausaha Agong KEADILAN
Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu