POSTED BY AMIR WRLR
Perwakilan Negeri Kedah, Adam Loh menyeru kerajaan supaya tempoh
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh digunakan untuk mempercepatkan proses
vaksinasi negara.
Beliau berkata, gesaan itu dibuat kerana menyifatkan proses
vaksinasi negara berjalan dengan amat perlahan ketika ini.
"Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sudah dilancarkan
malangnya ia berjalan dengnan lambat sekali.
"Laporan antarabangsa minggu lalu meramalkan jangka masa
untuk negara kita mencapai imuniti kelompok dengan 75 peratus adalah selama 19
bulan berdasarkan kadar vaksinasi ketika ini.
"Ini bermakna negara akan capai imuniti kelompok pada
Disember 2022.
"Namun maklumat terkini hanya 6.7 peratus rakyat divaksin
dengan dos pertama, ramai lagi yang menunggu vaksin.
"Gunakan masa lockdown ini untuk percepatkan vaksinasi.
Jangan sekadar melontarkan stay at home sebaliknya gunakan masa ini supaya dua
minggu kemudian kadar jangkitan diturunkan dan boleh membantu percepatkan
imuniti kelompok," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua AMK pada
Kongres Nasional Kali Ke-15.
Beliau juga meluahkan kebimbangan terhadap bilangan yang belum
mendaftar vaksin terutamanya di kawasan pedalaman.
"Sistem online tidak mesra semua lapisan rakyat dan
penerangan dari kerajaan tidak meyakinkan.
"Di negeri saya antara peratusan pendaftaran paling tercorot
di negara ini, kurang 30 peratus. Ini menunjukkan kempen kerajaan tidak berapa
berkesan untuk golongan ini," katanya.
Justeru, beliau mencadangkan kepada kerajaan supaya mengumpulkan
sukaralewan kumpulan dari pelbagai ideologi.
"Ini bagi mencari satu kaedah bagaimanakah untuk mengambil
vaksin dan mendaftar vaksin segera.
"Gerakkan semua orang dari pimpinan tertinggi sehingga ketua
kampung bagi memberi penerangan tentang vaksin.
"Boleh wujudkan stesen vaksin dalam pekan di kampung dan
kawasan pedalaman, pastikan semua orang mendaftar dan keluar mengambil vaksin
supaya boleh tamatkan pandemik ini secepat mungkin," katanya.
Oleh itu, Adam meminta kerajaan supaya menunjukkan kebijaksanaan
pemimpin bukannya mewujudkan kekeliruan.
"Masa berjalan, kerajaan harus sedar program vaksinasi
bergerak perlahan dan menjadi kelemahan untuk memerangi Covid-19.
"Vaksin bukanlah penawar untuk mengakhiri pandemik, namun ia
sememangnya mampu menjadi pengubah keadaan," katanya.