Bernama
Mei 8, 2021
Tajuddin berkata UMNO bukanlah parti yang memberi fokus semata-mata kepada politik sahaja termasuk ketika negara sedang berdepan COVID-19 ini. - Gambar fail
PASIR SALAK: UMNO tidak terlalu terdesak untuk memaksa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU5) diadakan ketika kes pandemik COVID-19 tinggi, termasuk pada Ogos nanti.
Pengarah Pilihan Raya UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, parti itu meletakkan kepentingan rakyat yang perlu diutamakan dan bukannya mengejar jawatan semata-mata hingga mengabaikan kesihatan umum.
"Kalau masih ada kes COVID-19 tinggi sewaktu Ogos, tidak mungkin kita cadangkan diadakan PRU15. Pemimpin UMNO bukan tiada otak. Kami bukan hendak kejar atau kemaruk jawatan sahaja
"Kami ambil maklum mengenai situasi COVID-19. Cuma harap Ogos nanti dibubarkan Parlimen andai keadaan mengizinkan. Tetapi kalau kes tinggi, mencanak hingga ribu-ribu, kita akan pertimbangkan semula waktu sesuai untuk diadakan PRU.
"Kita akan lakukannya apabila tiba masanya. Macam mana hendak lalu jambatan kalau kita belum sampai. Kita kena akur pada situasi COVID-19," kata Ahli Parlimen Pasir Salak itu sewaktu memberi bantuan kepada golongan asnaf di Dewan Pekan Rabu, Chenderong Balai di sini hari ini.
Dilapor pada Januari lalu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP), jika PRU diadakan dalam waktu terdekat malah lebih 30 buah negara, termasuk Amerika Syarikat, telah mengadakan pilihan raya umum ketika mereka berdepan penularan COVID-19.
Manakala pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 Mac lalu, UMNO menuntut supaya PRU15 mesti diadakan selepas tempoh darurat tamat, sama ada pada 1 Ogos atau tarikh sebelumnya jika darurat ditamatkan lebih awal.
Tajuddin berkata UMNO bukanlah parti yang memberi fokus semata-mata kepada politik sahaja termasuk ketika negara sedang berdepan COVID-19 ini, sebaliknya sedaya upaya menjaga kebajikan rakyat berdepan pandemik tersebut.
"Kalau kita asyik berpolitik, tidak mungkin infrastruktur jalan, kemudahan orang ramai dapat disediakan. Hidup perlu diteruskan walaupun sewaktu pandemik melalui peluang pekerjaan dan ekonomi kepada rakyat," jelasnya.
-- BERNAMA