SUATU PANDANGAN KISAH HISHAMMUDDIN HUSSEIN, MENTERI LUAR TERLAJAK CAKAP

 

May be an image of 2 people, including Hassan Abdul Karim and people standing


Pepatah Melayu ada berkata: “Terlajak perahu boleh diundur; terlajak cakap buruk padahnya”.

Tetapi inilah yang berlaku di Beijing di akhir lawatan dua hari Menteri Luar Malaysia, Hishammuddin Hussein ke China, baru-baru ini. Dalam satu sidang akhbar bersama Menteri Luar China, Wang Yi, Hishammuddin memanggil China sebagai “abang besar (big brother)”. Dengan pantas, Menteri Luar China membalas. “Kita adik beradik” kata Wang Yi.

Hishammuddin sebagai seorang wira ataupun frontliner di barisan hadapan yang sepatutnya menjaga maruah dan kedaulatan Malaysia telah gagal dalam tugas hakikinya. Mungkin dengan layanan mesra dan hospitaliti tuan rumah China yang tidak ada tolok bandingnya, mewarisi Empire silamnya yang bijak berdiplomasi sejak zaman Marco Polo lagi, maka Menteri Luar Malaysia, anak bangsawan dari Johor itu kecundang dan melutut, lalu mengakui bahawa Malaysia ini sebagai adik kecil China, jika pun tak sampai ke tahap boneka.

Hishammuddin perlu meminta maaf kepada rakyat Malaysia. Meletakkan jawatan Menteri Luar mungkin terlalu berat baginya. Sekurang-kurangnya anak bekas Perdana Menteri ketiga itu wajarlah meminta maaf. Mengapa Hishammuddin Hussein perlu meminta maaf kepada rakyat Malaysia? Ini penjelasan dari saya.

Pertama, masakan sebagai Menteri Luar, Hishammuddin tidak sedar bahawa China telah melakukan banyak kali pencerobohan ke dalam perairan Malaysia di Sarawak yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa sebagai perairan negara kita?

Kedua, sebagai Menteri Luar, tidak mungkin Hishammuddin tidak tahu bahawa China tidak mengiktiraf Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia. Tidak munasabahlah untuk kita rakyat biasa perlu memberitahu Hishammuddin bahawa kebanyakan telaga minyak, pelantar minyak, sumber pertoleum dan gas asli Malaysia yang dicarigali oleh Petronas berada di dalam Zon Ekonomi Eksklusif negara kita?

Ketiga, masakan Menteri Luar, Hishammuddin cepat lupa bahawa kuasa besar China sekarang mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan adalah miliknya. Malaysia juga menuntut beberapa kepulauan di Laut China Selatan ini. Bagaimana kita hendak dipandang bermaruah oleh China jika Malaysia jadi adik kecil kepada abang besar China?

Keempat, Hishammuddin sebagai Menteri Luar tentu seorang menteri yang cerdik dan arif tentang sejarah. Hampir 60 tahun lalu, iaitu pada tahun 1961 telah diadakan Persidangan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (“ non-aligned movement”) di Bandung, Indonesia. Pemimpin-pemimpin penting Asia seperti Presiden Sukarno, Perdana Menteri Jawaharal Nehru, Chou En Lai telah hadir dalam persidangan itu dan mengasaskan pergerakan negara-negara berkecuali itu. Apa yang Menteri Luar Malaysia, Hishammuddin ucapkan di Beijing baru-baru ini dan dilapor ke seluruh dunia adalah bertentangan dengan dasar berkecuali yang dipegang oleh Malaysia sebagai teras asas dasar luar negara Malaysia.

Kelima,Hishammudin Hussein tentu masih ingat bahawa pertubuhan ASEAN telah dibentuk lebih kurang 50 tahun yang lalu sebagai suatu zon yang aman, bebas dan berkecuali (“Zone of Peace, Freedom and Neutrality”) atau ringkasnya ZOPFAN. Prinsip ZOPFAN ini secara tepatnya dibentuk pada tahun 1967. Antara pelopornya ialah tiga orang menteri luar di Asia Tenggara, iaitu Tun Abdul Razak (Malaysia), Adam Malik (Indonesia) dan Carlos Ramulo (Filipina). Jadi, Hishammuddin Hussein janganlah rosakkan prinsip ZOPFAN yang penting ini yang telah berdekad-dekad menolong menjadikan rantau Asia Tenggara ini kawasan yang aman.

Sebagai Menteri Luar Malaysia, tentunya Hishammudin tidak perlu diingat-ingatkan bahawa di rantau Asia Tenggara inilah kemungkinan besar sengketa ketenteraan antara Amerika Syarikat dengan China akan berlaku. Sebarang provokasi yang tidak terkawal akan membawa konflik peperangan di rantau ini.

Jadi, ingatlah bidalan Melayu. " Kerana pulut santan binasa". Kita tidak mahu kerana mulut Menteri Luar kita yang tidak cermat, Malaysia akan terheret ke dalam sengketa dua kuasa besar Amerika Syarikat dan China.

Hassan Abdul Karim

Ahli Parlimen Pasir Gudang

3 April 2021 (Sabtu)