Pepatah Melayu ada berkata: “Terlajak perahu boleh diundur;
terlajak cakap buruk padahnya”.
Tetapi inilah yang berlaku di Beijing di akhir lawatan dua hari
Menteri Luar Malaysia, Hishammuddin Hussein ke China, baru-baru ini. Dalam satu
sidang akhbar bersama Menteri Luar China, Wang Yi, Hishammuddin memanggil China
sebagai “abang besar (big brother)”. Dengan pantas, Menteri Luar China
membalas. “Kita adik beradik” kata Wang Yi.
Hishammuddin sebagai seorang wira ataupun frontliner di barisan
hadapan yang sepatutnya menjaga maruah dan kedaulatan Malaysia telah gagal
dalam tugas hakikinya. Mungkin dengan layanan mesra dan hospitaliti tuan rumah
China yang tidak ada tolok bandingnya, mewarisi Empire silamnya yang bijak
berdiplomasi sejak zaman Marco Polo lagi, maka Menteri Luar Malaysia, anak
bangsawan dari Johor itu kecundang dan melutut, lalu mengakui bahawa Malaysia
ini sebagai adik kecil China, jika pun tak sampai ke tahap boneka.
Hishammuddin perlu meminta maaf kepada rakyat Malaysia.
Meletakkan jawatan Menteri Luar mungkin terlalu berat baginya.
Sekurang-kurangnya anak bekas Perdana Menteri ketiga itu wajarlah meminta maaf.
Mengapa Hishammuddin Hussein perlu meminta maaf kepada rakyat Malaysia? Ini
penjelasan dari saya.
Pertama, masakan sebagai Menteri Luar, Hishammuddin tidak sedar
bahawa China telah melakukan banyak kali pencerobohan ke dalam perairan
Malaysia di Sarawak yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa sebagai
perairan negara kita?
Kedua, sebagai Menteri Luar, tidak mungkin Hishammuddin tidak
tahu bahawa China tidak mengiktiraf Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia. Tidak
munasabahlah untuk kita rakyat biasa perlu memberitahu Hishammuddin bahawa
kebanyakan telaga minyak, pelantar minyak, sumber pertoleum dan gas asli
Malaysia yang dicarigali oleh Petronas berada di dalam Zon Ekonomi Eksklusif
negara kita?
Ketiga, masakan Menteri Luar, Hishammuddin cepat lupa bahawa
kuasa besar China sekarang mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan
adalah miliknya. Malaysia juga menuntut beberapa kepulauan di Laut China
Selatan ini. Bagaimana kita hendak dipandang bermaruah oleh China jika Malaysia
jadi adik kecil kepada abang besar China?
Keempat, Hishammuddin sebagai Menteri Luar tentu seorang menteri
yang cerdik dan arif tentang sejarah. Hampir 60 tahun lalu, iaitu pada tahun
1961 telah diadakan Persidangan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (“ non-aligned
movement”) di Bandung, Indonesia. Pemimpin-pemimpin penting Asia seperti
Presiden Sukarno, Perdana Menteri Jawaharal Nehru, Chou En Lai telah hadir
dalam persidangan itu dan mengasaskan pergerakan negara-negara berkecuali itu.
Apa yang Menteri Luar Malaysia, Hishammuddin ucapkan di Beijing baru-baru ini
dan dilapor ke seluruh dunia adalah bertentangan dengan dasar berkecuali yang
dipegang oleh Malaysia sebagai teras asas dasar luar negara Malaysia.
Kelima,Hishammudin Hussein tentu masih ingat bahawa pertubuhan
ASEAN telah dibentuk lebih kurang 50 tahun yang lalu sebagai suatu zon yang
aman, bebas dan berkecuali (“Zone of Peace, Freedom and Neutrality”) atau
ringkasnya ZOPFAN. Prinsip ZOPFAN ini secara tepatnya dibentuk pada tahun 1967.
Antara pelopornya ialah tiga orang menteri luar di Asia Tenggara, iaitu Tun
Abdul Razak (Malaysia), Adam Malik (Indonesia) dan Carlos Ramulo (Filipina).
Jadi, Hishammuddin Hussein janganlah rosakkan prinsip ZOPFAN yang penting ini
yang telah berdekad-dekad menolong menjadikan rantau Asia Tenggara ini kawasan
yang aman.
Sebagai Menteri Luar Malaysia, tentunya Hishammudin tidak perlu
diingat-ingatkan bahawa di rantau Asia Tenggara inilah kemungkinan besar
sengketa ketenteraan antara Amerika Syarikat dengan China akan berlaku.
Sebarang provokasi yang tidak terkawal akan membawa konflik peperangan di
rantau ini.
Jadi, ingatlah bidalan Melayu. " Kerana pulut santan
binasa". Kita tidak mahu kerana mulut Menteri Luar kita yang tidak cermat,
Malaysia akan terheret ke dalam sengketa dua kuasa besar Amerika Syarikat dan
China.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
3 April 2021 (Sabtu)