PRU 15: Keputusan tidak jauh berbeza, Umno kekal pembangkang jika tiada penjajaran politik

 




POSTED BY AMIR WRLR


Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 dijangka tidak jauh berbeza dengan PRU 14 dan Umno akan kekal sebagai pembangkang sekiranya tiada penjajaran semula politik belaku sebelum hari mengundi.

Hal itu diutarakan oleh Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang dalam siaran langsung Facebook StudioKini AsamPedas bertajuk, "Pas Menyokong PN, bukti MN berpecah", malam tadi.

Kata Ahli Parlimen Tanjong Malim itu, ramalan berkenaan berkemungkinan besar akan berlaku selepas Umno mengambil keputusan meninggalkan Bersatu dan akan bertanding secara solo dalam PRU akan datang, yang bakal menyaksikan pertembungan antara Perikatan Nasional (PN), BN dan Pakatan Harapan (PH).

"Saya rasa kalau kita nak jangka apa yang akan berlaku kepada Umno dalam pertembungan tiga penjuru, mudah. Saya gunakan satu ayat sahaja. Jangan kita jangkakan keputusan berbeza kalau kita lakukan perkara sama

"Kalau 2018 kita ada kerajaan BN yang sangat teruk dari segi pentadbiran dan penyelewengan wang. Hari ini kita juga ada satu kerajaan yang sangat teruk. Ada (dasar) dua darjat.

"Saya rasa tidak ada perbezaan yang besar kalau ada PRU dan berlakunya pertembungan 3 penjuru. Ia akan lebih kurang sama dengan keputusan PRU 2018.

"Saya berhujah begini kerana berpendapat Umno akan tanggung 'dosa' sebagai sebahagian daripada kerajaan hari ini," katanya.

Menghuraikan 'dosa' yang dilakukan kerajaan, Lih Kang berkata, rakyat amat marah dengan polisi dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undnag sepanjang PN memerintah.

Katanya, rakyat tidak boleh menerima golongan VIP melakukan kesalahan dikenakan hukuman ringan sebaliknya golongan marhaen menerima hukuman berat.

"Ini akan menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat. Ia juga menunjukkan tidak ada perbezaannya di antara kerajaan BN dan PN," katanya.

Manakala retorik kerajaan Melayu, kata Lih Kang, tidak akan membantu untuk mendapatkan lebih banyak undi kaum itu kepada PN.

Menurut Lih Kang, pengundi Melayu semakin curiga dengan kerajaan PN yang 90% Melayu tetapi mempunyai prestasi lebih buruk dalam membela kaum itu berbanding PH

"Apa yang mereka guna sebagai senjata untuk memomokkan kerajaan PH, hari ini berlaku kepada mereka. Contohnya kes allahyarham Adib, sampai hari ini belum selesai.

"Sebelum ini mereka guna isu Adib menyerang PH. Dalam kerajaan hari ini boleh dikatakan semua parti Melayu Islam. Tetapi isu yang sama belum diselesaikan. Itu adalah dosa kerajaan hari ini," ujarnya.

Bagaimanapun, Lih Kang berpendapat, satu-satunya faktor yang mengekang PH pada PRU 15 adalah keletihan rakyat menghadapi politik.

Faktor itu, katanya mungkin menyebabkan rakyat kurang keluar mengundi dan keputusan terbaik seperti PRU 14 sukar dicapai.

"Jangkaan saya keluar mengundi akan menurun sebab orang rasa letih dengan politik.

"Saya rasa tidak akan ada perubahan yang banyak dari segi keputusan. Pada 2018 saya jangka KEADILAN menang dalam 50 kerusi, mungkin kali ini 40 sahaja, DAP 42 mungkin kali ini 40. Amanah 11, kali ini mungkin 10. Itu belum kita kira 52 kerusi yang ditandingi Bersatu.

"PH sudah memegang 90 kerusi dan apa yang Umno akan dapat? Umno akan kekal sebagai pembangkang kalau tiada apa-apa strategi baru.

"Saya rasa kalau Umno tidak keluar dari kerajaan sekarang mereka terpaksa menanggung kesalahan yang dilakukan kerajaan hari ini," katanya menjawab soalan moderator mengenai nasib Umno sekiranya berlaku pertandingan 3 penjuru.