ISU TULAR IKLAN JUDI HARI RAYA : TINDAKAN TEGAS WAJIB DIAMBIL
Telah tular dan hangat diperkatakan mengenai satu klip video iklan yang disiarkan oleh syarikat judi atas talian, GDBET333 memanipulasi iklan Hari Raya menjadi iklan judi untuk mempromosikan aktiviti tidak bermoral.
Hasil semakan mendapati bahawa syarikat GDBET333 merupakan syarikat perjudian atas talian yang boleh diakses secara mudah hanya dengan melalui telefon pintar. Syarikat perjudian ini juga mempunyai platform media sosial lain seperti facebook, twitter serta youtube untuk mempromosikan kegiatan perjudian atas talian.
Amat jelas bahawa iklan ini sama sekali tidak boleh diterima apatah lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang suci pada ketika ini. Mempromosi iklan judi atas talian menggunakan iklan Hari Raya adalah cukup menghina kesucian agama Islam.
MPN Keadilan Kedah mengambil serius mengenai isu ini dan menggesa siasatan dan tindakan segera diambil oleh pihak yang berwajib untuk menangani isu ini.
MPN Keadilan Kedah juga meminta pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengharamkan iklan ini kerana dikhuatiri boleh mempengaruhi umat Islam untuk terjebak secara terus dalam aktiviti perjudian atas talian secara berleluasa.
Kami juga membantah keras sebarang bentuk eksploitasi agama yang melibatkan kepentingan pihak tertentu yang dilihat cuba untuk mencabar kesucian agama Islam.
Sehubungan dengan itu, kami menggesa supaya individu yang terlibat dalam iklan tersebut diambil tindakan yang sewajarnya berlandaskan undang-undang. Lesen penyiaran yang diberikan juga wajib ditarik balik bagi menggelakkan kejadian seumpama ini berlaku lagi pada masa hadapan.
Pihak seperti Kementerian Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) seharusnya lebih peka mengenai sebarang isu yang melibatkan sensitiviti umat dan agama Islam sebelum meluluskan sebarang bentuk iklan bagi tujuan penyiaran.
Kegiatan perjudian atas talian ini harus dibanteras dengan segera dan bukan sekadar menjadi hangat-hangat tahi ayam kerana jika dibiarkan terus berleluasa, keadaan ini boleh merosakkan minda serta generasi masyarakat Islam.
Dato' Johari Abdul
Pengerusi MPN Keadilan Kedah
16 April 2021