Pengawal peribadi dipukul: Orang berpuasa isu besar dalam negara - Hamzah

 

Hasimi Muhamad
Pengawal peribadi dipukul: Orang berpuasa isu besar dalam negara - Hamzah
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan dua pengawal peribadi terbabit cedera dalam kejadian di sebuah kondominium di Jalan Pinang, ibu negara. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Perbuatan menghalang orang Islam berpuasa di bulan Ramadan adalah satu perkara yang besar dan serius, tegas Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Justeru, Menteri Dalam Negeri itu telah mengarahkan pihak polis untuk menyiasat secara terperinci berhubung kes dua pengawal peribadi yang dipercayai dipukul sehingga cedera oleh majikan mereka gara-gara berpuasa.
“Kita kena ambil tindakan yang tegas kalau sesiapa melakukan sesuatu perkara yang boleh menyebabkan ketidakpuasan terutamanya semata-mata kerana isu berpuasa.
“Jadi orang berpuasa ini adalah isu yang paling besar dalam negara kita.
“Kita kena faham bahawa dia orang Islam perlu berpuasa, kenapa orang bukan Islam hendak suruh jangan berpuasa? Ia sesuatu yang salah,” katanya dalam Sidang Media Wacana Meja Bulat di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata polis tidak akan berkompromi dengan insiden tersebut.
Katanya, tindakan tegas akan diambil kepada individu berkenaan sebaik sahaja pihaknya mengenal pasti punca sebenar insiden tersebut.
Kes Pukul | Dua 'bodyguard' dipukul kerana berpuasa
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan dua pengawal peribadi terbabit cedera dalam kejadian di sebuah kondominium di Jalan Pinang, ibu negara.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa bekerja di sebuah syarikat keselamatan dan dilantik sebagai pengawal peribadi suspek.
"Semasa berada di kondominium terbabit, suspek yang merupakan majikannya telah bertanya adakah mereka berpuasa ketika hari kejadian.
“Setelah diberitahu mereka berpuasa, suspek bertindak memarahi dan menampar kepala mangsa,” katanya.