NEGARA KINI DALAM BAHAYA, RAKYAT MESTI BANGUN BERSUARA

 


Satu undang-undang yang membenarkan Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Menteri Besar meluluskan perbelanjaan tambahan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui legislatif sepanjang penguatkuasaan darurat, telah diluluskan.

Ini bermakna, Perbendaharaan Malaysia, Menteri Besar dan Ketua Menteri boleh menambah perbelanjaan atau menggunakan Kumpulan Wang Disatukan masing-masing tanpa kelulusan wakil rakyat atau melalui Parlimen.

Perkara ini digariskan dalam ordinan yang dikeluarkan semalam.

Ia memperkenalkan dua seksyen baru, iaitu Seksyen 10a dan 10b dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Ordinan baru ini juga menggantung Perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Perenggan 2(2)(b) Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946, yang berkaitan kuasa Dewan Rakyat berhubung soal kewangan.

Parlimen dan semua sidang DUN telah digantung sejak 11 Januari lalu menerusi proklamasi darurat.

Sepanjang tempoh itu, cabang eksekutif boleh meluluskan undang-undang baru dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong tanpa melalui legislatif atau Parlimen.


Dalam reaksi berkenaan perkara tersebut, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, tidak ada alasan untuk meluluskan peraturan darurat baru yang membolehkan kerajaan persekutuan dan negeri meluluskan perbelanjaan tambahan tanpa pemeriksaan parlimen.

“Saya merasakan ia cukup tidak beretika dan tidak bertanggungjawab.

“Reputasi negara sangat memprihatinkan saat ini dan undang-undang baru ini pasti akan terus menghakis keyakinan rakyat.

“Saya sekali lagi menggesa agar Parlimen mesti dibuka dan Ahli-Ahli Parlimen wajar dibenarkan menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengelak demokrasi negara ini terus diinjak,” katanya dalam satu kenyataan.

Seterusnya, tegas Anwar lagi, tidak ada sebarang sebab yang munasabah untuk pemerintah ini bertindak sebegini.

“Belanjawan 2021 telah diluluskan kurang dari empat bulan dulu yang telah memperuntukkan dana yang cukup bagi menghadapi Covid-19.

“Sebarang dana tambahan seharusnya diluluskan oleh Parlimen dan saya menentang langkah terbaru kerajaan ini,” tegas Anwar lagi.

Yang nyata, tindakan kerajaan memperkenalkan undang-undang yang membolehkannya berbelanja sesuka hati tanpa ketika darurat dan tanpa kelulusan Parlimen, semakin menyerlahkan tujuan darurat diperkenalkan.

Hujah dan alasan konon darurat diperlukan untuk kerajaan memerangi Covid19 dengan lebih berkesan kian terserlah autanya.

Selain sebelum ini ramai mentafsirnya berikutan Muhyiddin Yassin dalam keadaan darurat kerana semakin hilang sokongan Ahli-Ahli Parlimen, kini ia bertambah buruk dengan kerajaan boleh pula berbelanja menggunakan wang kerajaan sesuka hati.

Berbelanja wang sendiri sesuka hati pun sudah dikira merbahaya, apatah lagi jika wang tersebut adalah milik negara atau bukan kita yang punya.

Lebih daripada itu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pula hanyalah seorang Senator atau Ahli Dewan Negara dan bukan Ahli Parlimen yang dipilih melalui undi rakyat.

Dengan itu, apa jadi akhirnya kepada wang negara ini dan apa guna Parlimen dalam sistem demokrasi yang menjadi amalan negara?

Sebagai rakyat yang membayar cukai, kita seharusnya berasa bimbang dan cemas dengan tingkah laku kerajaan PN yang tiada keabsahan ini, kemudian diikuti dengan kecenderungan mahu berbelanja wang negara dengan sesuka hati.

Ayuh kita rakyat semua bangun bersuara dan tanamkan tekad dalam hati untuk tidak membiarkan kerajaan PN ini berkuasa lebih lama lagi.

Jika tidak, kita dan anak-anak cucu kita pasti sengsara dibuatnya. 


(Shahbudindotcom 01/04/2021)