Mana hasil siasatan klip audio kaitkan Muhyiddin, Puad tanya SPRM, polis

 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi berkata, pelantikan menteri dari Umno mencetuskan kontroversi kerana ia tidak mengikut hierarki parti dan tiada perbincangan dibuat mengenainya.

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi meminta polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan hasil siasatan rakaman audio mengaitkan Presiden PPBM Muhyiddin Yassin yang tular pada Mei tahun lalu.

Dalam klip tersebut, Muhyiddin didakwa menjanjikan jawatan kerajaan untuk menarik pemimpin Umno menyertai parti itu.

“Sudah hampir setahun rakyat menunggu penjelasan SPRM dan polis mengenainya. Kenapa terlalu lama? Jangan senyap begitu sahaja,” kata Puad dalam catatan Facebook.

Julai tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata, agensi anti-rasuah itu menyerahkan laporan awal siasatan kes itu kepada Jabatan Peguam Negara dan sedang menunggu arahan lanjut.

Kata beliau, siasatan dibuat mengenai kesahihan rakaman audio itu dan sama ada apa yang dikatakan dalam klip itu satu kesalahan atau sebaliknya.

Klip audio berkenaan didakwa dirakam ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM pada 23 Feb tahun lalu, sehari sebelum Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi parti itu.

Susulan itu, PPBM meninggalkan Pakatan Harapan, sekali gus mencetuskan krisis politik negara yang akhirnya mendorong Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Fuad berkata lebih lanjut dalam catatannya di Facebook hari ini, pelantikan menteri dari Umno mencetuskan kontroversi kerana ia tidak mengikut hierarki parti dan tiada perbincangan dibuat mengenainya.

“Pelantikan itu dilihat ada muslihat politik,” kata beliau.