Gara-gara Instastory, pasangan suami isteri berbulan madu dipenjara
[DIKEMASKINI] Pasangan suami isteri yang tular merentas negeri ke Johor kerana ‘honeymoon’ dipenjara sehari dan denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memberi maklumat bertulis palsu, bulan lalu.
Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed, 24, yang memakai jubah kelabu manakala suaminya, Azharique Shah Abdul Jalil, 23, berjubah putih dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Wong Chai Sia.
Mahkamah turut memerintahkan mereka dipenjara sebulan, jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, mereka yang juga usahawan produk inai, didapati melakukan kesalahan itu ketika membuat permohonan permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk merentas negeri ke Johor, telah memberi maklumat palsu secara bertulis.
Ia di mana tertuduh mengetahui bahawa maklumat yang diberi kepada Ketua Polis Balai, Asisten Superintendan Fairul Nizam Anuar itu adalah tidak benar.
Kesalahan dilakukan di Balai Polis Wangsa Maju, pada jam 2 petang, 15 Mac lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 22 (D) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu agar diberi hukuman denda yang minima.
Iram Naz berkata, ketika kejadian, mereka meneruskan perjalanan ke Johor kerana pihak penginapan tidak dapat membatalkan tempahan atau mengembalikan deposit.
“Maaf Yang Arif, Instastory yang saya buat hanya untuk keluarga dan rakan IG saya, yang menularkan cerita ialah orang yang saya tidak kenali.
“Saya rayu kepada mahkamah agar tidak mengenakan hukuman penjara kerana saya adalah penanggung tunggal keluarga, malah kami menyesal serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu,” katanya sebak.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar mencadangkan, demi kepentingan awam, kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman penjara.
Ini kerana katanya, Instastory yang dibuat oleh tertuduh pertama (Iram Naz) mengandungi perkataan yang tidak patut ditulis antaranya ‘rayu polis’.
“Sedangkan PKPB memberi kesan terhadap orang awam kerana tidak boleh merentas negeri.
“Walaupun kelonggaran diberi namun ia bukan untuk tujuan lain, maka saya mohon ia diambil serius oleh semua pihak agar tidak mengulangi kesalahan tersebut,” katanya.
Ketika menjatuhkan hukuman, Chai Sia turut menegur kedua-dua tertuduh, kerana tindakan mereka menyalahgunakan kelonggaran yang telah diberi, memberi contoh buruk kepada masyarakat.
“Sememangnya Instastory dikongsi dengan rakan-rakan dan keluarga tetapi ia boleh disebarkan oleh orang lain.
“Alasan bahawa tempahan tidak dapat dibatal atau wang tidak dapat dikembalikan, maka tidak seharusnya kamu meneruskan perjalanan,” katanya.
Sebelum ini, tular gambar pasangan berusia lingkungan 20-an itu di media sosial kononnya pergi berbulan madu di suatu kawasan peranginan dan cuba memberi tip kepada netizen berkenaan cara-cara untuk merentas negeri.
Pasangan tersebut telah hadir ke Balai Polis Wangsa Maju untuk memohon permit pergerakan PKPB ke Johor Bahru atas urusan perniagaan dan mereka telah mengemukakan surat arahan menjalankan tugas oleh syarikat. – SH