Akibat dendam, bekas pegawai polis dedah anggota terlibat jenayah terancang

 


Bernama
Akibat dendam, bekas pegawai polis dedah anggota terlibat jenayah terancang
Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata penularan maklumat terlibat telah dibuat secara meluas selain menimbulkan keraguan dan kegusaran masyarakat berikutan dakwaan salah laku tersebut. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pegawai polis ditahan kerana dipercayai menjadi dalang memuat naik senarai nama anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa terlibat pelbagai sindiket jenayah terancang.
Suspek lelaki berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira 11.30 malam semalam, di sebuah rumah di Alor Setar, Kedah selepas terkait dengan penyebaran artikel bertajuk ‘Kumpulan Kartel Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman’ yang tular di media sosial.
Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata suspek menerusi artikelnya mendedahkan nama pegawai dan anggota polis JSJ yang dikaitkan dengan penyalahgunaan kuasa, melindungi, bersekongkol selain menerima rasuah daripada pelbagai sindiket jenayah terancang
Beliau berkata penularan maklumat terlibat telah dibuat secara meluas selain menimbulkan keraguan dan kegusaran masyarakat berikutan dakwaan salah laku tersebut.
“Suspek juga membuat tohmahan bahawa pegawai dan anggota turut terlibat dalam beberapa sindiket jenayah terancang seperti geng Nicky Liow, Addy Kanna, Wan Padang Besar, Pak Su Bukit Kayu Hitam dan Tiger 99,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu, empat laporan polis dibuat oleh empat pegawai polis yang namanya didedahkan dalam artikel berkenaan.
Huzir berkata pada masa sama, pihaknya membuka empat kertas siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi mengesan, menahan dan mendakwa mana-mana individu terlibat dalam penyebaran isu berbentuk fitnah itu.
“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek yang juga bekas Inspektor sebelum ini telah dijatuhkan hukuman pengawasan selama dua tahun di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 oleh Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ).
“Suspek ditahan semasa Operasi Mualang yang dilaksana bahagian Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Gangsterisme JSJ Bukit Aman bagi mencegah kegiatan kongsi gelap di sekitar Klang,” katanya.
Selain itu, suspek juga dikesan pernah membuat beberapa tohmahan sebelum ini terhadap pegawai dan anggota polis bahagian tersebut.
Huzir berkata hasil siasatan mendapati tindakan suspek dipercayai kerana marah dan tidak berpuas hati, selain menyimpan dendam terhadap pasukan siasatan D7 yang telah mengambil tindakan kepadanya sehingga diberhentikan kerja.
“Polis dalam masa sama turut merampas komputer riba, telefon bimbit dan beberapa barangan lain yang kemudiannya dihantar ke makmal forensik PDRM untuk dianalisa.
“Orang awam diminta untuk menghentikan sebarang spekulasi atau andaian tidak berasas, selain tidak menyebarkan isu ini di mana-mana saluran atau media sosial bagi mengelakkan kegusaran awam,” katanya.
-- BERNAMA