Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) mengenai "Mood Rakyat
Malaysia Setahun Pemerintahan Perikatan Nasional" yang dibentangkan
beberapa hari lalu mendapati sokongan terhadap pemerintahan Perdana Menteri
Muhyiddin Yassin berada pada tahap kritikal dalam kalangan penyokong Umno.
Majoriti mereka lebih senang Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum (PRU) diadakan berbanding menyokong Muhyiddin.
"72% penyokong Umno memilih membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU 15 dengan segera. Sementara itu 69% penyokong juga berpendirian bahawa kepimpinan Muhyiddin gagal mengawal penularan Covid 19 secara berkesan.
"Bahkan bagi penyokong Umno purata penilaian (average rating) terhadap prestasi Menteri Kabinet Muhyiddin adalah pada tahap 3.0 bagi skala antara 1 (paling rendah) hingga 10 (paling tinggi).
"Jelas berdasarkan data responden penyokong Umno, mereka mempunyai persepsi yang rendah dan negatif terhadap Kerajaan Perikatan Nasional khususnya suara akar umbi.
"Justeru senario ini mengesahkan penolakan Umno terhadap PN dan pelbagai konflik yang timbul antara keduanya," kata IDE dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun menurut agensi tinjauan pendapat itu, penyokong Pas pula menunjukkan kecenderungan sebaliknya.
Sebanyak 74% responden penyokong Pas mengambil sikap menyokong untuk Muhyiddin kekal sebagai PM Malaysia sehingga tempoh Parlimen tamat. Penyokong PAS juga memberikan skala pencapaian 8.0 bagi skala antara 1 (paling rendah) hingga 10 (paling tinggi), terhadap Menteri Kabinet kepimpinan Muhyiddin.
Tinjauan itu menegaskan, sokongan pengundi Atas Pagar akan menjadi penentu kemenangan kepada mana-mana gabungan dalam PRU akan datang kerana tidak ada pihak yang mendapat sokongan padu.
"Berdasarkan kepada data-data jelas memperlihatkan perbezaan sikap antara penyokong Umno dan Pas yang dilatari oleh pelbagai latar belakang terkait dengan strategi politik, reaksi akar umbi, survival kerusi Parlimen dan DUN, masa depan parti politik dan dinamiknya sokongan
pengundi atas pagar.
"Senario ini juga menjadi tanda tanya terhadap kedudukan Pas sama ada untuk memilih antara dua gabungan iaitu bersama Bersatu dalam PN, atau bersama Umno dalam Muafakat Nasional pada PRU 15 akan datang," kata kenyataan itu lagi.
Tinjuan berkenaan dijalankan oleh IDE secara dalam talian pada 19 hingga 28 Februari 2021 yang melibatkan 8,352 orang responden dari seluruh negara; Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Persampelan yang digunakan IDE adalah persampelan berperingkat (multi-stage sampling). Profil responden adalah merangkumi jantina, umur, kaum, sokongan kepada parti dan trend keputusan PRU14.