Saya ingin jadi Orang
Tua yang tidak terlibat tetapi ingin jadi pendamai yang neutral dalam taufan
kecil dunia politik Parti Keadilan Rakyat di Pasir Gudang. Sebenarnya krisis
ini kecil sahaja ibarat ribut dalam cawan kopi tetapi badai tempiasnya terpukul
juga kepada Majlis Pimpinan Keadilan Johor (MPN).
2. Tidak baik
sebetulnya, mendedahkan masalah rumah tangga sendiri - keluarga Keadilan Johor dan
Pasir Gudang- ini di khalayak ramai, ibarat mendobi baju di tepi Lebuhraya
Pasir Gudang yang banyak berlubang itu. Tetapi apabila ribut dalam cawan kopi
ini telah tular dan virel ke seluruh sudut planet bumi angkara internet tanpa
sempadan ini, lalu saya terpaksa bercakap juga.
3. Saya dijemput ke
Mesyuarat Permuafakatan pada 25 Mac ini untuk menyelesaikan satu masalah
berbangkit tentang perlantikan Timbalan Ketua Cabang menjadi Ketua Cabang Parti
Keadilan Pasir Gudang berikutan kematian Ketua Cabang yang terdahulu baru-baru
ini. Sebenarnya perkara penggantian Ketua Cabang ini mudah sahaja, tetapi
kerana salah ditangani, lalu ia menjadi ribut kecil tak pasal-pasal.
4. Tetapi itulah
politik. Jika tiada krisis, maka bukan politik namanya.Politik peringkat akar
umbi ini kita boleh namakan politik cabang.Politik peringkat cabang ini berlaku
di mana-mana dalam Parti demokrasi terbesar di Malaysia iaitu Parti Keadilan
Rakyat. Biarkanlah aktivis-aktivis politik di peringkat akar umbi ini sedikit
kebebasan berpencak silat atau bertaichi dan belajar mengasah gigi dan senjata
politik, untuk mendapat kemahiran basic, sebelum masuk ke arena atau gelanggang
politik yang lebih besar, ibarat sangkar singa, bak kata Pramodeya Anantatoer,
Sasterawan terkenal Indonesia dalam Novelnya berjodol Rumah Kaca.
5.Kembali kepada
Ribut Dalam Cawan Kopi di Pasir Gudang, saya percaya ianya boleh diselesaikan
dengan baik. Dengan semangat setiakawan seperjuangan dalam Parti Keadilan, maka
satu rumusan muafakat akan dapat dicapai berlandaskan perundangan di bawah
Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat yang kaya dengan amalan konvensyennya yang
dinamik. Anggota Keadilan sudah matang menghadapi pertentangan. Yang mana
pertentangan hidup mati, atau berkerat rotan; berpatah arang. Yang mana pula pertentangan
antara sesama rakan sama parti dan seperjuangan yang bersifat: Carik-carik bulu
ayam; akhirnya bertaut juga. Atau air dicincang tidak akan putus.
6. Untuk sementara
waktu, menjelang perundingan pada malam Khamis 25 Mac nanti, saya sebagai Ahli
Parlimen Pasir Gudang menyeru semua pihak supaya bertenang dan bersabar.
Berilah peluang kepada saya dan Pengerusi MPN Johor, Ahli Parlimen Ledang
mencari jalan penyelesaian.
Sekian
Hassan Abdul Karim
21 Mac 2021 (Ahad)