Selepas dedak, harga daging juga bakal naik sehingga RM45 sekilogram
Harga daging tempatan dijangka naik sehingga RM45 sekilogram menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Penternak lembu, Zainal Azhar Mohamed, 36, berkata, ia berikutan kenaikan harga dedak ternakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac tahun lalu.
“Pihak kilang ada alasan sendiri bila ditanya mengenai kenaikan harga dedak, orang tengah pun mungkin punca harga naik.
“Kalau sebelum ini seguni dedak saya boleh dapat pada harga RM54, sekarang harganya sudah mencapai RM58,” katanya.
Zainal berkata, ketika ini harga daging tempatan sudah mencecah RM40 sekilogram dan tidak menolak kemungkinan akan mencapai RM45 sekilogram menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Isu kartel baru-baru ini menyebabkan pengguna kembali membeli daging tempatan dan dengan bertambahnya harga dedak, tidak mustahil harga daging akan naik lagi. Namun ia bergantung kepada kawasan dan permintaan.
“Sekarang pun harga daging sudah naik di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Desa Selatan Beef Sdn. Bhd, Kamaruzzaman Abdul Jalil berkata, terdapat banyak sumber negara import yang membekalkan lembu seperti Thailand dan Australia namun difahamkan kemasukan bekalan lembu dari Thailand pada tahun ini berkurangan.
“Peratus ternakan lembu tempatan sangat kecil tidak mampu menampung permintaan tinggi terhadap daging segar.
“Justeru, penternak akan membeli lembu pada usia setahun hingga dua tahun dari Thailand dan Australia untuk difidlotkan.
“Lembu itu akan diberi makan dan dijaga dalam tempoh setahun hingga dua tahun sehingga mencapai berat sepatutnya sebelum disembelih,” katanya.